LIMBANG: Prestasi Majlis Daerah Limbang (MDL) adalah yang terbaik di Sarawak.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Dr Abdul Rahman Ismail berkata ini dapat dibuktikan dengan kualiti dan pencapaian yang ditunjukkan MDL dalam mentadbir Daerah Limbang selama ini.

“Oleh sebab itu, kita perlu menghargai kerja-kerja yang telah dilakukan oleh Majlis Daerah Limbang dari peringkat bawah pekerja am sehinggalah ke peringkat pentadbiran dan peringkat pembuat polisi iaitu kaunselor-kaunselor yang diketuai oleh walikota,” katanya pada Perasmian Pesta Hari Bukit Mas 2019 anjuran Majlis Daerah Limbang  di Taman Tasik Mas Limbang.

Salah satu tujuan Hari Bukit Mas diperkenalkan dulu adalah sebagai hari bertemu pelanggan.

Mengambil nama sempena nama sebuah taman tasik dan diadakan aktiviti-aktiviti di Tasik Mas sebab itu dinamakan sebagai Hari Bukit Mas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menjelaskan Kerajaan Sarawak berusaha untuk membangunkan Daerah Limbang ini dengan pelbagai projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.

“Banyak projek yang telah diluluskan Projek Tebingan Sungai Limbang Fasa 1 yang sedang dilaksanakan dan akan disambung Fasa 2, Projek Muzium Pentadbiran Bahagian Limbang, naik taraf kemudahan di Bukit Mas, rumah kebudayaan di Taman Tasik Mas yang kini dalam perancangan MDL, Dataran Bandar Limbang dan macam-macam lagi,” ujarnya.