MULU: Ibu bapa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu dinasihatkan agar memerhatikan tingkah laku anak-anak supaya tidak terjebak dengan gejala dadah.

Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala mengingatkan bahawa gejala dadah bukan sahaja memudaratkan kesihatan, tetapi juga merugikan negeri terutama mereka yang bakal mewarisi kepimpinan negeri pada masa akan datang.

“Ibu bapa digesa memerhatikan keadaan anak-anak mereka supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Dalam hal ini, masyarakat turut memainkan peranan penting untuk memastikan kampung mereka bebas dari dadah,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kampung Uma Beluvuh pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menjelaskan banyak rancangan pembangunan telah dirancang dan akan dijalankan khususnya di kawasan Tutoh seperti menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

Foto UKAS

“Sarawak Energy Berhad telah diminta untuk membuat kajian bagi penggunaan grid elektrik sejajar dengan pembinaan Jalan Marudi Long Panai. Sumber air akan diambil dari Sungai Tutoh,“ ujarnya.

Dalam majlis itu, Dato Gerawat telah mengumumkan Agensi Pembangunan Tinggi (HDA) telah memperuntukan sebanyak RM15 juta bagi membina loji air di Kampung Long Panai.

Sementara itu, sebanyak RM700 ribu telah diperuntukan bagi membina longkang yang mengelilingi rumah panjang menerusi peruntukan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Mulu.

Turut diumumkan peruntukan RM20 juta bagi membina loji air bersih Kampung Melinau, Batu Bungan dan Long Iman serta pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Long Ukok ke Long Panai.

Pada majlis itu, telah diadakan penyerahan anak-anak pokok Musang King kepada Ketua-Ketua Kampung bagi membolehkan mereka menjadikan durian Musang King sebagai satu lagi tanaman tumpuan untuk meningkatkan hasil pendapatan mereka pada masa akan datang.