BINTULU: Dua warga tempatan ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis melalui tindakan pelaksanaan Operasi Outlet 2019 atas kesalahan memiliki rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam.

Kedua- duanya ditahan dalam operasi yang dianggotai kira-kira 20 orang pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bintulu diketuai Pengarah Kastam Negeri Sarawak Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha dan Ketua Kastam Stesen Bintulu Azman Abdul Wahab.

Dalam operasi tersebut, Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bintulu berjaya merampas 460 batang rokok dan 63 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 262.50 dan jumlah cukai RM 1,229.11.

Halimah dalam kenyataan medianya berkata, kedua- dua individu terlibat ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 selain akan turut diperintahkan membayar cukai yang terlibat kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peruntukan Cukai mengikut Seksyen 119A(1) Akta Kastam 1967 di bawah kesalahan memiliki barang tak berkastam di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.