KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan melahirkan kegembiraan sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya ekonomi gelap melibatkan kehilangan berbilion-bilion ringgit, maka GST dapat mengurangkan ekonomi gelap ini sebanyak 2/3 ataupun 20 bilion ringgit.

“Kerajaan PH kehilangan secara tidak langsung pendapatan sebanyak RM20 bilion ringgit tersembunyi dan sepatutnya mereka (PH) menerima 44 bilion setahun kutipan GST berbanding 23 bilion dalam sistem SST,” katanya seperti dipetik portal Umno.

“Saya kira cadangan-cadangan dari pihak MIER perlu diteliti oleh pihak kerajaan dan saya yakin bahawa 88 peratus negara di dunia yang laksana GST tidak silap. Yang silap adalah pihak yang melaksanakan SST kerana SST adalah cukai kuno, cukai yang tidak telus dan cukai yang membiakkan ‘black economy’,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, jika sistem GST dilaksanakan semula, kadar yang sesuai adalah lima peratus.

“Kalau tiga peratus terlalu rendah, mungkin boleh turun ke lima peratus. Kalau tidak, kerajaan tidak akan mendapat pendapatan sewajarnya. Pendapatan itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat,” ujarnya lagi.

Terdahulu beliau memaklumkan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasatnya atas dakwaan menerima sejumlah wang yang dikatakan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas beliau pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga menyiasat dan memaklum tiada menerima apa-apa pun cek dan salinan cek.

“Saya telah memaklumkan kepada mereka bahawa saya tidak pernah menerima cek dengan sejumlah yang ditunjukkan salinan cek kepada saya oleh pihak PDRM dan pihak SPRM.

“Saya juga telah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa saya tidak pernah menerima wang seperti dinyatakan.”

Tambah Ahmad lagi, peguamnya akan membuat tindakan selanjutnya mengenai dakwaan tersebut.