Pada tahun 1835 Thomas Babington Macauly seorang ahli politik kolonial mengemukakan minit mengenai pendidikan di India. Beliau berhujah bahawa pendidikan dalam bahasa Arab dan Sanskrit di India tidak berguna untuk pembangunan. Sebaliknya pendidikan dalam bahasa Inggeris perlu berdasarkan kesusasteraan Inggeris.

Macauly melahirkan hasrat untuk hapuskan pendidikan Sanskrit dan Arab, seterusnya menghasilkan kelompok kelas masyarakat baru India berdarah dan berkulit India akan tetapi bercita rasa Inggeris dalam minda, pendapat, moral dan intelektual. Golongan inilah bakal menjadi elit politik India dan di negara-negara kolonial.

Cara pendidikan demikian lebih membawa kepada cara pemikiran kebudayaan barat dan mengabaikan kebudayaan peribumi yang dianggap kurang mantap di sebalik pemikiran sains dan falsafah Eropah.

Kesannya, pendidikan sedemikian menghasilkan peminggiran bahasa peribumi atau kebangsaan negara oleh kalangan elit yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kolonial yang telah mencabut roh sistem pendidikan tradisi akhirnya membentuk semangat penolakan terhadap bangsanya sendiri atau dikenali sebagai semangat self denigration of race kalangan elit politik.

Pembuangan sistem pendidikan tradisional dari institusi akademik akibat penyebaran atau d indokrinasi oleh sosiologi kolonialisme melahirkan pemikiran neo kolonial kalangan pemimpin di negara terjajah dan merebak dalam segenap aspek kehidupan termasuk di Malaysia.

Kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan orang Melayu masih lagi malas bekerja dan rela menyerahkan segala kerja kepada bangsa asing masih boleh dihujahkan. Beliau juga menyatakan keengganan orang Melayu bekerja mendorong jutaan rakyat asing membanjiri Malaysia untuk mendapatkan kerja. Kata Mahathir, “Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja.”

Kenyataan ini juga diulangkan dalam ucapan Tun dalam Kongres Melayu baru-baru ini. Beliau mengulang orang melayu malas, tak akan berubah, melayu lemah. Namun ini tidak merujuk kepada keseluruhan orang Melayu. Ia lebih sekadar stereotaip yang sering diulang-ulangkannya untuk menyedarkan sesetengah orang melayu.

Sudah pasti tidak semua orang Melayu bersetuju dengan pendekatan dan cara Tun tersebut. Ia dianggap bukan sebagai sebahagian budaya melayu yang mempunyai cara lebih halus, tertib dan santun dalam mendidik dan memberikan kesedaran. Namun cara Tun ini seolah-olah sebagai medan melemahkan dan menghina Melayu.

Hal ini kerana hakikatnya masih terdapat golongan Melayu yang rajin, mahu berubah dan mengubah nasib hidup mereka. Malah terdapat Melayu yang berjaya malah mempunyai rangkaian perniagaan di luar negara seperti dalam bidang minyak dan gas. Mereka juga terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan sesuai dengan modal mereka. Di Kuala Lumpur, orang Melayu ramai bekerja siang dan malam bagi menampung kos hidup yang tinggi di kota besar. Gaji minimum yang diterima tidak mencukupi bagi kota besar di Kuala Lumpur.

Pekerja asing seperti Bangladesh bekerja di kota besar kerana mereka hidup di perantauan bersendirian dan nilai gaji lebih tinggi berbanding di negara asal mereka. Ini bukanlah bandingan dengan orang Melayu dan bumiputera kerana ini tanahair mereka yang harus menampung keluarga besar mereka.

Ramai juga orang Melayu berjaya cemerlang dalam pendidikan tinggi, pada masa yang sama terdapat juga pemimpin Melayu korup dan tidak berintegriti apabila meluluskan tanah-tanah rezab Melayu untuk dibangunkan ketika pemerintahan Tun Mahathir selama 22 tahun.

Jadi kesemua ini bersifat subjektif apabila Tun hanya memberikan kenyataan bersifat stereotaip dan prejudis. Namun ini tidak bermakna kongres tersebut baru-baru ini sebagai medan melemahkan dan menghina orang Melayu. Hal ini kerana yang wajar difokuskan ialah resolusi-resolusi yang patut dijadikan medan perbincangan.

Tujuan kongres tersebut ialah untuk menyampaikan resolusi-resolusi ekonomi, politik, agama, budaya dan agama islam terhadap Tun Mahathir selaku Perdana Menteri untuk dilihat dan diambil tindakan. Sebaliknya, Mahathir sepatutnya juga memfokuskan isu yang lebih kritikal seperti penciptaan dasar yang jauh lebih baik daripada DEB hasil ciptaan Tun Razak untuk ditinggalkan sebagai legasinya sebelum peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Pemikiran Lama

Masyarakat kini perlu memahami bahawa Tun Mahathir ialah segelintir kelompok generasi lama yang masih hidup, beliau yang lahir tahun 1925 dan kini berusia 94 tahun. Cara pemikiran kelompok nonagenarian ini terlalu ortodok hanya sesuai dengan generasi sebelum perang dunia ke-2.

Strategi provokasi begini sudah tidak sesuai dan patut dihentikan kerana generasi baru kini jauh berbeza pemikiran dan gaya hidup mereka. Situasi ini hanya akan membuat rakyat sangat marah apabila direndahkan dan dibandingkan dengan kaum lain dalam kongres besar ini.

Provokasi ini tidak relevan bagi generasi baru dan mungkin relevan bagi generasi era Tun. Generasi kini sanggup melakukan beberapa kerja untuk menampung kehidupan harian mereka, dengan gaji minimum tidak mencukupi untuk mereka tampung kos keperluan asas. Majoriti mereka bukan pula dekat dengan elit politik lama yang dikaitkan dengan ali baba, kronisme dan sebagainya.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.