Isu Petronas liat membayar cukai cukai eksport sebanyak lima peratus ke atas minyak dan gas yang dikeluarkan dari perairan negeri ini

Hangat diperkatakan rakyat sarawak di negeri ini.

Mengapakah syarikat gergasi minyak itu keberatan berbuat demikian ketika syarikat minyak lain telah pun berbuat demikian?

Adakah Petronas sengaja atau ada sebab lain?

Namun, di Sibu semalam Ketua Menteri  berkata, isu berkaitan Petronas akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Katanya, setakat ini hanya Petronas yang belum lagi membayar cukai tersebut manakala syarikat minyak Shell dan Murphy Oil serta sebuah syarikat subkontraktor lain sudah menjelaskan cukai itu kepada Sarawak.

Rundingan antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan mengenai tuntutan itu dipercayai sedang berlangsung.

Sesungguhnya, tidak ada sebab untuk Petronas sebagai syarikat ternama dan berwibawa untuk tidak menunaikan tanggungjawabanya seperti yang termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan.

“Jadi kita lihat dalam masa dua bulan akan datang kerana ada rundingan antara kita dengan pihak Kerajaan Pusat. Kerajaan Sarawak amat bertegas dengan hak kita dan mereka (juga) perlu menghormati hak kita, walau macam mana sekali pun keadaannya,” kata Datuk patinggi Abang Johari di Sibu, semalam.

“Dalam masa beberapa bulan akan datang kita akan selesaikan mengenai hak minyak dan gas, yang menjadi hak Sarawak ialah  hak kita, hormatilah hak yang ada pada anak-anak Sarawak supaya Sarawak dapat membangun,” katanya semasa menjawab pertanyaan salah seorang peserta sesi Townhall “Berambeh Ngan CM Abg Jo” di Dewan Kompleks Islam Sibu pada Ahad.

Tuntutan cukai ke atas minyak dan gas tersebut adalah mengikut Perlembagaan Malaysia dan Sarawak mempunyai hak untuk melaksanakannya. 

Dari sudut undang-undang Perlembagaan Malaysia dan IGC Report yang menjadi asas Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963), Sarawak memang ada hak untuk mendapat cukai eksport minyak dan gas.

Tuntutan cukai tersebut dipercayai akan menambah hasil sebanyak RM3 bilion kepada Sarawak. Wang berkenaan tentu dapat digunakan untuk membawa pembangunan prasarana dan seumpamanya terutama di luar bandar. Sebaliknya, jika tidak, tentu ini dapat dianggap sebagai tidak adil kepada Sarawak ketika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap tentang kemakmuran bersama. Biarlah Sarawak dan rakyatnya turut menikmati hasilnya agar ia dapat berdiri sama tinggi dengan negeri lain di negara ini.

Justeru, Petronas tidak seharusnya berdolak-dalih dengan melambatkan pembayaran cukai berkenaan. Petronas telah mengaut hasil daripada Bumi Kenyalang, maka wajar ia memberi sebahagian hasilnya kepada Sarawak. Lagipun, apalah sangat cukai lima peratus itu berbanding dengan jumlah keseluruhan yang dikautnya dari Sarawak sejak sekitar 40 tahun lalu.

Dilaporkan sebanyak RM660 bilion hasil minyak telah diperoleh oleh Petronas sejak 1976 hingga tahun lalu, tetapi Sarawak hanya mendapat RM33 bilion.

Ini tentu angka yang tidak begitu menggembirakan. Jadi, Petronas, tolonglah bayar apa yang menjadi tanggungjawab anda kepada rakyat Sarawak.