KETIKA kempen rancak untuk menakluki 14 juta pengundi Malaysia menjelang PRU-14, saya sering ditanya media di negara ini, termasuk stesen TV tentang janji PH untuk memansuhkan GST jika ia berkuasa.

Saya secara tekal mempertahankan  GST atas pelbagai justifikasi dan alasan, termasuk digunakan di lebih 160 buah negara di dunia, tidak kira negara miskin, membangun atau  maju.

Hujah saya ketika itu, tidak mungkin 160 lebih negara salah. Tentu mereka telah melakukan kajian menyeluruh dan mendalam tentang kebaikan dan keburukan sistem cukai berkenaan.

Disebabkan pendirian saya itu, banyak pihak termasuk netizen mengecam dan melontarkan kritikan tajam terhadap saya.

Saya katakan ketika itu, tidak perlu mengubah sistem cukai berkenaan, memadai dikurangkan ke kadar lebih rendah, katakan tiga atau empat peratus jika itu yang menjadi punca kehidupan 31 juta rakyat tertekan.

Kerdit: GreenPro Synergy Network

Saya menegaskan sistem cukai itu baik, tetapi satu daripada kesilapan BN ketika itu adalah mengenakan cukai pada kadar agak tinggi. Sepatutnya dimulakan pada kadar tiga atau empat peratus, kemudiannya ditingkatkan dari semasa ke semasa seperti dilakukan oleh Singapura.  

Ini lebih realistik dan masuk akal. Kadar GST dapat ditingkatkan sejajar dengan peningkatan pendapatan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.

Kadar GST ketika ini di Singapura ialah tujuh peratus berbanding tiga peratus ketika ia diperkenalkan pada 1 April 1994. Kemudian ia dinaikkan kepada empat peratus pada 1 Januari 2003, lima peratus pada 1 Januari 2004, dan tujuh peratus mulai 1 Julai 2007. Ia akan dinaikkan lagi kepada sembilan peratus tetapi tarikhnya belum ditetapkan lagi. 

Mengapa Malaysia tidak memilih jalan yang dilalui negara kota 5.7 juta itu? Mengapa kita terus mengenakan kadar enam peratus? Dan, mengapa PH tidak terfikir untuk mengekalkannya dengan menurunkan kadar kepada lebih wajar, daripada memansuhkannya sama sekali.

Ya, PH menang dalam PRU berkenaan, dan seperti dijanjikan dalam manifestonya, GST yang menjadi antara segala isu utama  pada pilihan raya berkenaan pun mengotakan janjinya.

PH mengeksploitasikan isu berkenaan semaksimum mungkin kerana menyedari itu strategi dan jalan terbaik untuk mempengaruhi rakyat dan pengundi dalam usahanya menuju ke Putrajaya.

Lagu ‘ABCDGST’ dipopularkan oleh Guan Eng penuh dengan sindiran dan kecaman terhadap GST.

Rakyat yang memang berfikir dan punya persepsi bahawa GST itu jahat dan kejam, mudah terperdaya apatah lagi dengan kritikan dari pelbagai penjuru oleh pemimpin PH ketika itu.

Segala hujah dan naratif BN dan pihak yang menyokong GST ditentang habis-habisan melalui alasan, hujah dan wacana tandingan masing-masing.

Malaysia satu-satunya negara yang membuat pusingan besar dengan mengubah sistem cukainya.  Ya, Malaysia Boleh!

GST dilaksanakan sejak 1 April 2015 dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pada Khamis, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bersedia mengkaji semula pelaksanaan GST kalau itu kehendak rakyat susulan saranan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia.

Media nasional dalam kajian pantasnya melaporkan majoriti rakyat mahu GST dikaji semula.

Inilah masalahnya dengan negara ini. Kita sering membuat keputusan mengikut sentimen dan kepentingan politik, bukan bersandarkan kepentingan jangka panjang rakyat dan negara.  

Kita tidak boleh mengubah dasar penting membabitkan negara seperti kita menukar seluar dalam kerana kesan dan implikasinya panjang dan mendalam.  Berapa banyak lagi dasar dan keputusan yang perlu diubah selepas ini hanya atas kepentingan dan alasan politik?

Maaf cakap, satu daripada keseronokan dan ketaasuban Kerajaan PH ketika ini ialah mengubah dasar dan label program diperkenalkan Kerajaan BN. Bagi PH  segala yang bernama BN adalah hodoh dan jelek, justeru patut dihapuskan tanpa menyedari mereka juga bekas pemimpin BN, termasuk yang pernah memimpin negara selama 22 tahun.