Sarawak menyasarkan untuk menarik lima juta pelancong ke negeri ini pada tahun ini? Setakat Ogos lalu sudah 2.9 juta pelancong mengunjungi negeri hampir sebesar Semenjung itu. Persoalannya, adakah sasaran itu dapat dicapai? 

Ini merupakan sasaran paling tinggi pernah ditetapkan Kerajaan Sarawak melalui Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan setakat ini.

Sepatutnya, angka itu tidak terlalu sukar untuk dicapai. Melalui pelbagai strategi promosi dan pemasaran yang dilakukan kementerian terbabit, ia seharusnya mampu menarik jumlah pelancong berkenaan dari pelbagai negara. 

Ya, bukan sahaja dari Brunei dan Singapura.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Sabtu berkata, lima faktor yang menjadi daya tarikan pelancong ke Sarawak ialah budaya, pengembaraan, alam, makanan dan perayaan.

Kerajaan Sarawak melalui kementerian diterajui beliau komited untuk membawa industri pelancongan ke tahap lebih tinggi ketika ia menyasarkan lima juta pelancong pada tahun ini.

“Kita mahu melihat Sarawak berada pada tempat yang lebih baik terutamanya dalam industri pelancongan,” katanya.

Untuk itu, Sarawak wajar mengambil tindakan lebih agresif untuk memastikan lebih banyak penerbangan langsung dari destinasi atau negara tertentu, termasuk Indonesia, Thailand, China, Korea dan Jepun. 

Ketika ini, pelancong yang hendak ke Sarawak perlu melalui Kuala Lumpur terlebih dahulu. Ini bukan sahaja menyukarkan, tetapi membuang masa serta memerlukan perbelanjaan lebih mahal. Keadaan ini tentu menjadi penghalang kepada lebih banyak pelancong ke sini.

Selain itu, usaha lebih kreatif perlu diambil untuk mewujudkan lebih banyak produk dan destinasi pelancongan, termasuk dari segi sejarah dan budaya. Para pelancong tentu ingin menyaksikan persembahan budaya termasuk tarian pada sebelah malam dipersembahkan untuk tontonan mereka. 

Ketika ke Mesir baru-baru ini, saya berkesempatan menyaksikan pelbagai bentuk tarian dipersembahkan selama sejam. 

Pelancong asing kelihatan seronok dan puas dengan persembahan berkenaan. Bagi pelancong, apa-apa yang baharu dan unik pasti memikat hati mereka, dan ini perlu dilakukan oleh Sarawak. 

Ketika ini pada sebelah malam bandar dan bandar raya kita termasuk di ibu negeri agak sunyi dan tidak ada kegiatan yang dapat dikatakan mampu menarik pelancong. Sesiapa yang ke Kuala Lumpur pasti dapat melihat apa yang berlaku di kawasan Bukit Bintang pada sebelah malam. 

Ada sekurang-kurangnya empat kumpulan busker menyanyi di kawasan terbabit yang mampu menghidupkan suasana, sekali gus menarik minat para pelancong. Takkan di Kuching misalnya, satu kumpulan busker pun tidak dapat memberi persembahan?

Pelancong juga minat ke sesuatu tempat kerana budi bahasa dan dan sikap penduduk tempatan. 

Jika pelancong berasa destinasi berkenaan selamat dan penduduk tempatan menyambut lawatan mereka dengan baik, tentu berita itu akan mudah tersebar. 

Sebaliknya jika mereka berasa tidak selamat dan tidak dilayan dengan baik, pasti mereka juga tidak akan mahu kembali lagi, selain menyebarkannya kepada keluarga sekembalinya mereka daripada melancong.

Jadi, semua pihak perlu memberi kerjasama untuk memastikan sasaran lima peratus tercapai, dan angka itu terus dapat ditingkatkan pada masa depan.