TANJUNG MANIS: Lebih 500 penduduk hadir menjalani pemeriksaan kesihatan percuma sempena program khidmat masyarakat anjuran Pusat Khidmat P.206 Tanjung Manis di Dewan Masyarakat Belawai, semalam.

Sambutan luar biasa itu melebihi jangkaan awal penganjur yang hanya mensasarkan seramai 300 penduduk.

Program dianjurkan dengan kerjasama Kelab Lions Seduan Sibu, Rajang Specialist Hospital, PBB Kampung Belawai dan KMKK kampung Belawai.

Dalam pada itu, lebih 10 doktor pakar turut mengambil bahagian sekaligus membuka peluang kepada penduduk daerah ini untuk menjalani pemeriksaan sambil mendapatkan khidmat nasihat berkaitan kesihatan.

Mereka terdiri daripada doktor pakar mata, telinga, hidung, tekak, tulang, kanak-kanak, perempuan, bedah, pakar kesihatan dan pemakanan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata, penganjuran aktiviti ini bertujuan menyemai kesedaran penduduk terhadap penjagaan kesihatan selain meningkatkan kualiti hidup mereka.

Penganjuran program itu katanya, merupakan salah satu inisiatif penganjur untuk memastikan rakyat mempunyai akses kesihatan yang terbaik.

“Selain menyedarkan masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan, aktiviti ini juga meringankan beban penduduk kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan ini.

“Lions Club Seduan Sibu yang membawa seramai 11 orang doktor dan pakar dari Rejang Specialist Hospital Sibu merupakan sebuah pertubuhan NGO yang cukup aktif menjalankan kerja amal dan kemanusiaan untuk masyarakat di seluruh pelusuk dunia seperti pemeriksaan mata, program kesihatan, kemiskinan, kebuluran, program belia, sekolah, pemberian geran untuk program kemanusiaan, program semasa bencana dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau menambah, selain pemeriksaan kesihatan, penganjur juga menyediakan 300 cermin mata percuma untuk mereka yang layak.

“Sambutan luar dugaan ini menyuntik semangat kita untuk meneruskan penganjurannya pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang.