KUCHING: Sambutan Bulan Sukan Negara (BSN) tahun ini menyasarkan 420,000 peserta daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.

“Terdapat peningkatan penyertaan jumlah keseluruhan rakyat Sarawak pada tahun ini dengan sasaran 420,000 orang berbanding pada Hari Sukan Negara pada 2018,” kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan dalam ucapan perasmian BSN di sini semalam.

Menurut Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah matlamat itu tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan pembabitan melyelouruh daripada pelbagai lapisan masyarakat, sektor awam dan swasta, serta badan sukan.

Pada pelancaran semalam, lebih 3,000 peserta meluangkan masa dalam pelbagai acara sukan dan kecergasan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri.

Sebelas acara dilaksanakan pada pelancaran BSN  antaranya pertandingan zumba, kejohanan silat, beyblade, mobile legend, silat, strong fit challenge, futsal dan kejohanan wushu.

“Sambutan BSN ialah platform terbaik menerapkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat,” katanya, sambil menambah ia juga wadah perpaduan rakyat dan penyatuan nasional.

Jelasnya, aktiviti sukan dan kecergasan seiring objektif penganjuran mewujudkan masyarakat cergas, sihat dan produktif.