Tanaman hijau ke arah kekal alam semula jadi di Lundu

LUNDU: Warga Tanjong Datu digesa untuk menanam tanaman hijau ke arah mengekalkan alam semula jadi.

Adun Tanjong Datu Datuk Amar  Jamilah Anu berkata ia perlu dilakukan sejak awal lagi bagi memastikan kawasan DUN Tanjong Datu mempunyai kawasan yang hijau dan menarik.

“Kita di Lundu beruntung mempunyai alam sekitar yang ‘hijau’ dan terkenal dengan keindahan semula jadi.

“Tidak seperti di luar negara yang membangun lain yang ketandusan pokok-pokok yang membekalkan oksigen kepada bumi kita dek kerana pembangunan.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya pembangunan dan alam semula jadi yang dibangunkan seiring’,” katanya, pada Program Penanaman Pokok Sempena Regatta Batang Kayan Lundu 2019 pada Jumaat.

Menurut Jamilah lagi, menanam tumbuhan hijau ini tidak hanya menjurus kepada penanaman pokok bunga sahaja, tetapi juga menanam sayur-sayuran di kawasan rumah.

“Ini boleh dilakukan bermula dari rumah dengan menanam sayur-sayuran sebagai hobi. Selain dapat dimakan, sayur-sayuran ini juga dapat’ menghijaukan’ persekitaran rumah kita,” tambahnya.