HUNAN: Seorang lelaki memecah masuk sebuah pangsapuri yang ditinggalkan kosong.

Dia mengambil kesempatan tinggal di situ dua minggu sebelum kehadirannya dikesan oleh pemilik kediaman itu.

Li, pemilik pangsapuri tersebut tinggal di Changsha, Hunan.

Dia menyewa di sebuah apartmen lain di Hengyang, yang lebih dekat dengan tempat kerjanya.

Apabila dia melawat pangsapurinya yang ditinggalkan sebulan, dia terkejut melihat puntung rokok bertaburan di rumahnya.

Li juga menjumpai beberapa helai pakaian yang bukan miliknya. Bukti lain menunjukkan pencuri itu tidur di katil Li, memasak di dapurnya dan juga sempat menyapu lantai.

Wanita itu segera menghubungi polis yang kemudiannya bersiap sedia menunggu kedatangan pencuri tersebut.

Dia dikatakan masuk ke pangsapuri itu menggunakan tingkap di bilik tidur Li.

Kira-kira dua hari selepas Li membuat aduan tersebut, polis menemui lelaki itu tidur di bilik Li dan menahannya atas kesalahan memecah masuk kediaman.