KUCHING: Sekiranya PH ingin melaksanakan GST semula, PH perlu memohon maaf kepada majoriti pengundi mereka yang telah tertipu semasa PRU-14 yang lalu. 

Menurut Ketua Penerangan PAS Sarawak Zharudin Narudin, ini kerana kebanyakan pengundi PH pada ketika itu terlalu percaya dengan permainan persepsi oleh pemimpin PH.

“PH berdepan cabaran mengurus negara kini yang berada pada ambang ekonomi tidak stabil. Satu persatu janji mereka telah berlalu dan rakyat dihidangkan dengan alasan tidak munasabah termasuk mungkir janji 20 peratus royalti yang kini menghantui PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, PH harus merendahkan diri serta jangan ego jika sesuatu polisi itu perlu dilaksanakan semula walaupun pernah menentangnya suatu ketika dahulu. 

“Ia juga sebagai satu pengajaran kepada semua pemimpin PH agar menjadi bijak dan membuat kajian menyeluruh sebelum sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan malah tidak bermotifkan politik seperti pelaksanaan MPKK di Sarawak,” katanya.

“Kerajaan Sarawak juga perlu mengambil peranan tegas dan jangan akur dengan permainan PH yang kelihatan semakin hari semakin menghakiskan hak dan kepentingan Sarawak,” katanya lagi.

“Pemimpin PH Sarawak juga sudah tiada suara kerana mereka sebenarnya masih takut dengan rakan Malaya mereka. Kerajaan Sarawak perlu memikirkan masa depan Sarawak dari sudut hasil dan sumber pendapatan negeri yang lestari,” ujar Zharudin lagi.

“Ini penting kerana jika sesuatu berlaku kepada “Federal” Sarawak juga akan menerima impak buruk. Maka, untuk memastikan negeri kita dapat bertahan sekiranya peruntukan daripada pusat kurang atau tiada untuk Sarawak, Kerajaan Sarawak perlu mengambil balik segera segala hak negeri kita seperti cukai jualan produk petroleum dari syarikat gas dan minyak negara,” tegasnya.