Tuesday, January 25, 2022

Adakah rakyat akan terus pilih GPS?

Secara Rawak

Di sebalik dakwaan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengatakan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke – 12 masih lama, GPS kini rancak membangunkan kawasan-kawasan yang masih ketinggalan serta perlu diperbaiki di Sarawak. Ketua Menteri menegaskan bahawa beliau bersama kerajaan Sarawak sekarang fokus kepada membangunkan Sarawak dan belum memikirkan bila tarikh PRN 12 akan diadakan.

Komitmen tinggi Ketua Menteri bagi memastikan pembangunan di Sarawak terutama di kawasan luar bandar sudah pasti diterima baik oleh rakyat Sarawak yang masih dahagakan pembangunan. Kenyataan Ketua Menteri yang mengatakan beliau lebih fokus membangunkan Sarawak sebelum menempuh PRN 12 yang hanya beliau mengetahui bila tirai PRN 12 akan dibuka.

Jaminan pembangunan berterusan daripada kerajaan negeri menunjukkan usaha gigih barisan kepimpinan negeri bagi memastikan setiap pelosok negeri Sarawak dapat dibangunkan. Sarawak yang luas dan dengan keadaan geografi yang pelbagai memerlukan usaha gigih oleh pihak kerajaan bagi memastikan penduduk di luar bandar dapat menikmati pembangunan terutama berkaitan dengan kemudahan asas.

Usaha kerajaan Sarawak yang fokus kepada pembangunan terutama di kawasan luar bandar merupakan salah satu daripada komitmen kerajaan sekarang sebelum menempuh PRN 12 nanti. Ini kerana PRN 12 merupakan ibu segala PRN di Sarawak. GPS yang merupakan kerajaan negeri sudah pasti ingin memastikan kemenangan di tangan mereka pada PRN 12 nanti. GPS sedar, sebagai sebuah kerajaan, mereka perlu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu merencana serta melaksanakan pembangunan di Sarawak.

Persoalannya, adakah rakyat Sarawak akan terus memberi dukungan serta sokongan kepada GPS pada PRN 12 nanti? Sejauh manakah pendekatan yang dilaksanakan GPS ini dapat memastikan rakyat Sarawak terus memberi mandat kepada mereka nanti? Sama-sama kita renungkan.

Atas pertimbangan logik dan mengambil kira situasi semasa, GPS akan terus mendapat dukungan dan sokongan rakyat Sarawak terutama di luar bandar yang masih jauh ketinggalan daripada segi pembangunan. Komitmen GPS atau kerajaan negeri yang merancakkan lagi pembangunan di luar bandar menyedari jurang perbezaan yang ketara di antara pembangunan di bandar dan pinggiran bandar serta di luar bandar.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pelbagai pendekatan digunakan oleh kerajaan negeri dalam memahami permasalahan rakyat termasuk aspek pembangunan yang diperlukan oleh rakyat. Memetik laporan sebuah media elektronik mengatakan bahawa antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri adalah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri di sesuatu bahagian dan mengadakan sesi townhall bagi mendekatkan diri dengan rakyat serta mengenal pasti masalah terutama berkaitan dengan projek pembangunan yang diperlukan.

Ternyata, dengan adanya inisiatif kerajaan seperti ini, ia secara tidak langsung dapat memastikan keterangkuman dalam melaksanakan pembangunan terutama di luar bandar. Ideologi politik pembangunan yang sebelum ini di lihat bersyarat harus di ketepikan oleh kerajaan. Ia merupakan tanggungjawab sebuah kerajaan untuk membangunkan setiap kawasan bagi memberi faedah kepada rakyat.

Seperti yang dilaporkan dalam sebuah media elektronik, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, menjadi satu kemestian bagi pemimpin untuk turun ke akar umbi bagi memantau sendiri proses dan perkembangan terkini pembangunan di negeri ini demi manfaat rakyat. Ini merupakan satu pendekatan yang wajar dilakukan oleh mana-mana kerajaan bagi memastikan pembangunan dilaksanakan supaya faedah dapat dirasai oleh rakyat.

Lantaran itu, tindakan kerajaan negeri yang mempertingkatkan momentum pembangunan di negeri Sarawak terutama di luar bandar adalah salah satu usaha bagi meyakinkan rakyat Sarawak bahawa GPS mempunyai merit untuk terus diberikan mandat pada PRN 12 nanti. Kebanyakkan projek-projek daripada kerajaan pusat yang telah dibatalkan kini dilaksanakan oleh kerajaan negeri terutama pembinaan jambatan dan sebagainya.

Realiti adalah, dari segi pembangunan, kerajaan negeri lebih menyerlah dalam membangunkan Sarawak berbanding dengan kerajaan persekutuan. Walhal, kalau kita merenung kembali apa yang terkandung dalam MA63, pembangunan negeri Sarawak dan Sabah seharusnya turut dipikul oleh kerajaan persekutuan.

Kekangan kewangan yang menghantui kerajaan persekutuan merupakan halangan kepada mereka untuk membantu melaksanakan pembangunan termasuk membayar royalti minyak dan gas sebanyak 20% seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU 14 lepas. Apa pun, atas inisiatif murni kerajaan negeri Sarawak, pembangunan dalam pelbagai aspek tetap dilaksanakan di Sarawak terutama di luar bandar.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru