Saturday, August 20, 2022

Hello YB remaja 18 tahun!

Secara Rawak

BAYANGKAN seorang wakil rakyat atau YB berucap di hadapan anda, menasihati sesuatu berkaitan dengan politik, ekonomi, pendidikan, agama, dan sebagainya.

Dalam kalangan khalayak ada golongan profesional, bekas pegawai kanan kerajaan, CEO syarikat, pensyarah universiti yang memiliki PhD, profesor, dan sebagainya.

Khalayak berkenaan berusia rata-rata atas 25 tahun dan punya kelayakan lebih tinggi, berpengalaman lebih luas, dan pandangan dunia lebih jauh.

Berbanding dengan YB berkenaan yang baru keluar dari sempadan dunia kanak-kanak. Kanak-kanak ialah mereka yang berusia 17 tahun, dan melangkaui usia berkenaan tidak lagi dianggap kanak-kanak.

Pada usia 18 tahun, seseorang baru lulus SPM, dengan pengalaman terrbatas, emosi kurang stabil, ilmu kurang mantap dan pandangan masih sempit.

Kelmarin, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan mana-mana parti politik yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November ini boleh meletakkan calon berusia 18 tahun.

Ini sejajar dengan Pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang diwartakan pada 10 September lepas. Namun bagi mereka berusia 18 tahun, sabar dulu. Pengundi berusia 18 tahun tidak boleh mengundi dalam PRK tersebut kerana pelaksanaannya masih belum dikuatkuasakan.

Perubahan membenarkan calon muda bertanding merupakan langkah dan keputusan yang berani apatah lagi golongan tersebut mempunyai potensi mengatasi calon lebih tua.

Perkembangan ini juga menunjukkan sistem demokrasi di negara ini semakin sihat dan terbuka apabila golongan muda diberi ruang untuk bersama-sama menyuarakan suara serta hak mereka.

Katanya, pandangan mereka semestinya banyak perbezaan dengan golongan yang lebih dewasa malah lebih dekat dengan anak muda.

Tetap saya yakin antara calon berusia 18 tahun dengan calon berusia 25 tahun ke atas, pengundi akan memilih calon lebih berusia, atas andaian segala kriteria lain adalah sama.
Keputusan membolehkan individu berusia 18 tahun bertanding dalam pilihan raya, bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor pada November depan dilihat sebagai persediaan awal untuk berdepan revolusi sistem demokrasi di negara ini.

Sesungguhnya memang amat janggal dan bagai tidak dapat diterima seorang yang baru berusia 18 tahun sudah dicalonkan dalam pilihan raya.

Parti manakah yang agaknya yang akan mencatat sejarah sebagai parti pertama menampilkan calon berusia 18 tahun?

Adakah daripada kalangan parti komponen PH yang membawa pembaharuan berkenaan? Mereka perlu berani menampilkan calon berusia kurang 21 tahun kerana tentu mereka punya alasan tersendiri melakukan perubahan itu.

Jalan lain yang dapat diambil jika tidak ada parti yang berani mengemukakan calon berusia 18 tahun adalah mereka terbabit berdiri sebagai calon Bebas.

Tidak ada sesiapa yang dapat menyekat mereka daripada menjadi calon asalkan memenuhi krtiera ditetapkan.

Langkah dilakukan SPR ini mungkin disifatkan untuk mewajarkan golongan berusia 18 tahun boleh mengundi dalam beberapa tahun lagi. Kalau 18 tahun boleh mengundi, ya, mengapa tidak jadi YB?

Alasan ini mungkin kelihatan amat lemah, kerana tanggungjawab sebagai calon dan wakil rakyat jauh lebih berat daripada taanggungjawab sebagai pengundi.

Benar, mereka yang 18 tahun juga boleh kahwin dan melahirkan anak. Tetapi itu sama sekali tidak sama dengan tanggungjawab dan peranan sebagai wakil rakyat.

Wakil rakyat dituntut untuk memimpin masyarakat dan rakyat yang diwakilinya. Untuk itu, dia perlu memiliki kriteria tertentu, antaranya, punya kelayakan, pengalaman, kemahiran, wawasan, wibawa dan komitmen.

Persoalannya, adakah parti politik yang berani mengemukakan calon berusia 18 tahun? Kalaupun mereka mengemukakan calon berkenaan, adakah pengundi bersedia untuk mengundi calon yang berusia setahun jagung, masih mentah, dan hidung masih berhingus itu?

Entah-entah, calon berkenaan pun belum faham lagi makna demokrasi, sistem dua parti, doktrin pemisahan kuasa, malah perbezaan antara kerusi Parlimen dengan kerusi DUN. Atau antara Dewan Rakyat dengan Dewan Negara.

Tentu parah kesannya kalau kita punya wakil rakyat yang terlalu mentah, tidak ada kearifran dan kelayakan sesuai. Menjadi wakil rakyat zaman sekarang jauh lebih sukar daripada zaman dahulu kerana pengundi sekarang bukan sahaja lebih tinggi kelayakan mereka, tetapi juga punya harapan dan tuntutan yang pelbagai. Harapan mereka juga amat tinggi. Jadi, tentu ini menjadi cabaran besar kepada wakil rakyat berkenaan, ya kalaupun pengundi bersedia mengundi mereka.

Seyogia diingat, kerja mentadbir negara bukanlah sekadar satu usaha mencuba-cuba tetapi terletak di atas bahu ialah satu tanggungjawab besar.

Namun, bagi membuktikan bahawa mereka dapat menjadi pemimpin dan disokong pengundi dalam pilihan raya, calon berusia 18 tahun perlu benar-benar memiliki wibawa, integriti, daya kepemimpinan luar biasa dan dapat memikat hati pengundi di kawasan berkenaan.

Ya, siapa tahu selepas PRU-15 nanti kita akan menyaksikan sejarah tercipta apabila calon 18 tahun berada di Dewan Rakyat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru