Monday, June 27, 2022

Sarawak fokuskan pembangunan luar bandar dan pedalaman

Secara Rawak

DARO: Kerajaan Sarawak kini memfokuskan kepada pembangunan di kawasan luar bandar dan pedalaman dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang akan memberikan manfaat kepada rakyat.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Hj Julaihi bin Narawi berkata ini terbukti apabila banyak projek di kawasan luar bandar telah diluluskan Kerajaan Sarawak termasuk Projek Jalan Kampung Penasu ke Nanga Semah.

“Projek Jalan Kampung Penasu ke Nanga Semah yang bernilai RM45 juta dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak bagi memberi manfaat dan faedah yang besar untuk meningkatkan sosio ekonomi rakyat kawasan ini.

“Projek jalan ini juga sebagai penganti kepada kemudahan sungai kepada jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Jalan Kampung Penasu ke Nanga Semah, di Rumah Antan anak Ujieh, Daro pada Sabtu.

Projek Jalan Kampung Penasu ke Nanga Semah mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan dan menyeru kepada semua penduduk kampung untuk memberi kerjasama kepada pihak kontraktor yang dilantik untuk memastikan projek ini siap sepenuhnya dalam masa yang ditetapkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee bin Haji menjelaskan projek ini sepanjang 10.48 kilometer bernilai RM45 juta akan memberi manfaat kepada ramai penduduk di kawasan ini.

“Siapnya jalan ini nanti akan memberi manfaat kepada 6 buah rumah panjang, sebuah klinik, sebuah sekolah di Nanga Semah dan lebih 80 buah rumah di Kampung Penasu,” ujarnya.

Pada majlis itu juga diadakan penyerahan tapak Projek Dewan Masyarakat Nanga Semah yang bernilai RM400 ribu di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro.

Turut diserahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM29 ribu dari ADUN Daro dan RM18 ribu daripada Ahli Parlimen Igan kepada beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sebanyak 100 unit kerusi plastik juga diserahkan ADUN Daro kepada Chapel Lisilek Nanga Semah.

Hadir sama Ahli Dewan Negara Senator Datuk Paul Igai, bekas ADUN Machan Datuk Gramong Juna dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak Chok Moi Soon.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru