CHESEREX SWITZERLAND: Lelongan ke atas 25 supercar di Switzerland yang dirampas daripada anak lelaki presiden Equatorial Guinea berjaya mengumpulkan 21.6 juta euro (RM96.1 juta).

Wang lelongan di Geneva itu jauh lebih tinggi daripada yang dijangkakan dan disumbangkan ke badan amal untuk membantu penduduk miskin di Afrika Barat.

“Ia adalah lelongan yang sangat berjaya,” kata Lynnie Farrant, jurucakap lelongan British Bonhams kepada AFP.

Pada mulanya, koleksi itu dianggarkan bernilai sehingga 17 juta euro (RM77.8 juta).

Namun jumlah itu adalah lebih tinggi daripada yang dijangkakan walaupun semua kereta itu dijual secara individu tanpa harga tertentu. Koleksi yang terjual termasuk Ferrari, Lamborghini, Bentley, Maserati dan McLaren.

Seorang pengumpul koleksi peribadi yang membuat tawaran menerusi proksi berjaya memenangi sejumlah besar kereta itu, kata Bonhams.

Pembida itu membeli Lamborghini Veneno Roadster berwarna putih, yang hanya ada sembilan buah di seluruh dunia.

Terdahulu pihak pendakwaan Switzerland menyita kenderaan itu sejak 2016 ketika membuka kertas siasatan terhadap Obiang, pewaris kepada Presiden Teodoro Obiang Nguema yang memerintah lebih 40 tahun.

Kumpulan antirasuah sudah lama menuduh Obiang menggelapkan dana negaranya untuk membiayai gaya hidupnya yang berfoya-foya.

Di bawah panel kod jenayah Switzerland, pendakwa dibenarkan memilih menggugurkan caj dalam kategori itu jika defendan menawarkan pampasan serta memulihkan keadaan yang mematuhi undang-undang.

Dalam perjanjian dengan Obiang, pihak berkuasa mengakhiri siasatan mereka pada Februari namun menyimpan supercar dan menerima 1.4 juta euro (RM6.4 juta) untuk menampung kos kes tersebut.