Pelbagai aktiviti menarik cungkil bakat golongan OKU Sarawak

KUCHING: Bagi menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan warga kurang upaya di Sarawak, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak akan mengadakan Karnival Orang Kurang Upaya Sarawak (KOKUS).

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, KOKUS tersebut akan berlangsung di Kampus UNIMAS bermula dari 23 hingga 27 November depan.

Jelas beliau, karnival tersebut mempunyai tiga komponen utama iaitu ‘Sport, Abilympics dan Cultural Talents’

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media KOKUS di Kuching, pada Isnin.

Fatimah menambah, terdapat 11 acara sukan akan dipertandingkan termasuk renang, olahraga, angkat berat, 10 pin bowling, badminton, ping pong, boccia, bocce, catur, lawn bowl dan memanah.

Selain itu katanya, sembilan kemahiran Abilympics seperti melukis, gubahan bunga, memasak, menghias kek, menjahit, sulaman, fotografi, ukiran kayu dan pemprosen data juga dipertandingkan.

Manakala ujarnya, tiga acara kebudayaan juga dipertandingkan seperti nyanyian solo, memain musik secara solo dan menari solo atau menari dalam kumpulan.