PAS Sarawak kesal PH yang kini menerajui Kerajaan Persekutuan terus bersandiwara dan terbukti gagal menunaikan Manifesto PRU14 dahulu terutama janji pemberian Royalti Minyak 20 peratus.

Meskipun PAS Sarawak boleh bersetuju bahawa Royalti Minyak 20 peratus adalah tidak praktikal kepada industri dan pemainnya khususnya PETRONAS, janji PH tersebut membuatkan ramai pengundi Sarawak tertarik hati serta tertipu apabila memberi undi kepada PH dengan harapan hak tersebut dapat ditunaikan.

Kerajaan Persekutuan di bawah PH yang ditunjangi DAP ini semakin hari semakin kucar-kacir dan bercelaru sehingga hilang pedoman dalam memandu negara ini ke arah kemakmuran ekonomi. PAS Sarawak yang didukungi anak jati Sarawak merasa kesal dengan situasi semasa yang meletakkan Kerajaan Sarawak berada dalam keadaan sukar.

Secara asasnya Royalti 20 peratus adalah janji Manifesto PH dalam PRU14. Ternyata ia satu lagi janji pilihan raya yang merupakan harapan palsu. Ini juga membuktikan bahawa Manisfesto PH adalah dibuat tanpa kajian lanjut, hentam kromo dan secara semberono dan sekadar untuk mengaburi mata rakyat bagi menang pilihan raya.

Pengumuman Tun Dr Mahathir bahawa pembayaran royalti “not workable” atau tidak dapat dilaksanakan bagi PAS Sarawak merupakan kelemahan berterusan PH dalam mentadbir negara. Ia adalah merupakan janji mereka dan isu utama adalah mungkir janji dan manifesto menipu. Biarpun pelbagai alasan digunakan, ia jelas menunjukan sikap tidak jujur PH kepada rakyat.

Ini sekali gus merupakan bukti jelas untuk rakyat Sarawak menilai betapa bahayanya PH jika berjaya menawan Sarawak terutamanya DAP. Biarpun mereka berada di dalam Kerajaan Persekutuan dan kita boleh menonton semula pelbagai video temberang mereka sebelum PRU14, kini mereka sudah hilang “kelakian” untuk berusaha mendapatkan hak-hak Sarawak. Sebaliknya bermain dengan pelbagai sentimen yang melagakan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

PAS menyambut baik cadangan Ketua Menteri Sarawak yang akan membentangkan fomula baru untuk mendapatkan hak royalti tanpa menggangu kedudukan PETRONAS. Inilah cerminan usaha gigih memelihara hak rakyat Sarawak berbanding dengan wakil PH Sarawak yang diam seribu bahasa setelah gagal menunaikan janji mereka.

PAS Sarawak akan menggesa wakil rakyat PAS di Parlimen nanti untuk turut bersuara dalam perbahasan pembentangan Bajet atau Belanjawan 2020 pada bulan hadapan serta akan menumpukan perhatian sebaiknya untuk bekerjasama dengan GPS di peringkat Persekutuan untuk mendapatkan hak negeri Sarawak.

Antara lain cadangan PAS Sarawak adalah untuk wakil rakyat PAS dan GPS berbincang bersama Perdana Menteri akan hak-hak Sarawak melalui Perkara 74, Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan yang nyata sekian lama tidak dinilai. Selain itu PH perlu menyokong usaha Kerajaan Sarawak meningkatkan hasil pendapatan negeri yang sesuai dengan peruntukan atau ordinan berkaitan di negeri kita seperti cukai 5 peratus hasil produk petroleum. Rakyat Sarawak diharap memberi sepenuh sokongan kepada usaha bersama kita ini untuk membuktikan hak Sarawak dikembalikan.

Selain itu, PH juga perlu memperbanyakkan dana kepada Sarawak dalam Bajet atau Belanjawan 2020 Kerajaan Persekutuan. Dana dalam Bajet untuk infrastruktur kepada Sarawak perlu ditambah termasuk penambahbaikan kemudahan asas seperti jalan raya, eletrik dan air selain janji menambahbaik fasiliti sekolah uzur, capaian internet dan lain-lain.

Dengan pelbagai janji palsu dan sandiwara tidak berkesudahan, maka PH sewajarnya ditolak oleh rakyat Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sekian, terima kasih.

MUKHTAR SUHAILI
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak