LIMBANG: Penganjuran apa sahaja aktiviti termasuk yang melibatkan sukan akan turut disertai oleh pasukan atau rakyat Brunei yang secara tidak langsung menjadikan sukan itu sebagai penganjuran peringkat antarabangsa.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Tanah Adat Dr Hj Abdul Rahman bin Ismail berkata inilah yang menjadikan Limbang sebagai destinasi penganjuran program dan aktiviti berstatus antarabangsa.

“Kelebihan penganjuran apa-apa kejohanan atau pertandingan yang  diadakan di Limbang akan disertai oleh rakyat dari negara Brunei secara tidak langsung boleh dinaik taraf menjadi peringkat antarabangsa,” katanya pada Majlis Penangguhan Kejohanan Futsal Piala YB Datuk Amar Hj Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Edisi Ke-2 di Stadium Tertutup, pada Ahad.

Kejohanan itu dianjurkan Jabatan Imigresen Bahagian Limbang dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang selama tiga hari dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Pasukan Sun Wukong JR muncul juara bagi kategori lelaki dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500 diikuti Naib Juara Pasukan Sea Eagle All Star membawa pulang wang tunai RM1,000 dan Pasukan Limbang Cops memenangi tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM700.

Sementara itu, bagi kategori wanita juara dimenangi Pasukan AMK Infinity berjaya membawa pulang hadiah berupa RM1,000 diikuti Naib Johan Pasukan AJ FC yang membawa pulang wang tunai RM700 dan tempat ketiga dimenangi Pasukan AJ FT membawa pulang  wang tunai RM500.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata pada tahun ini banyak aktiviti sukan telah disusun atur sama ada bertaraf tempatan atau antarabangsa.

“Banyak kejohanan sukan bola sepak diadakan antaranya melibatkan 7 piala menjadi rebutan iaitu Piala Belia, Piala Veteran, Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala YB Paulus dan Piala YB Datuk Amar Hj Awang Tengah Ali Hasan.

“Turut diadakan nanti, Pertandingan Futsal Terbuka Limbang pada bulan November ini,” ujarnya.

Selain sukan bola sepak, satu Pertandingan Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang juga akan diadakan melibatkan penyertaan sebanyak 40 pasukan.

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang Hj Sebi bin Hj Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi bin Awang Said dan Ketua Imigresen Bahagian Limbang dan Khalthom binti Ahmad.