Saturday, December 3, 2022

Kontraktor disaran ambil berat aspek kualiti projek rakyat

Secara Rawak

LIMBANG: Aspek kualiti penting pada setiap projek kerajaan bukan sahaja untuk memastikan ianya selamat tetapi juga memberi keselesaan kepada rakyat yang menggunakannya.

Timbalan Residen Limbang Hj Sebi bin Haji Abang berkata untuk memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan ini memberi manfaat kepada rakyat, kontraktor yang dilantik perlu memastikan kualiti pada setiap barangan yang digunakan selain mengikut pelan reka bentuk yang telah diluluskan.

“Para kontraktor yang terpilih dalam melaksanakan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) diminta untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan dengan mengikut piawaian yang telah ditetapkan agensi teknikal.

“Jaminan kualiti projek akan memberi manfaat dan keselesaan penduduk setempat serta memenuhi aspirasi kerajaan untuk memajukan kawasan luar bandar,” katanya semasa berucap pada Cabutan Undi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Siri 11 yang diadakan di Pejabat Residen Limbang, Isnin.

Proses cabutan undi telah disertai 54 orang kontraktor melibatkan 24 projek RTP dengan 18 projek RTP dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan masing-masing 3 projek dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Mengenai cabutan ini, Hj Sebi menjelaskan segala perjalanan dan tatacara pengundian tender RTP ini adalah mengikut syarat yang digariskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Setiap kontraktor juga dituntut untuk mengamalkan integriti yang tinggi di sepanjang melaksanakan projek RTP.

“Keadaan ini sejajar dengan kehendak Kerajaan Sarawak untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan itu memberi kemudahan dan manfaat yang besar kepada rakyat,” ujarnya.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Limbang Hamidah binti Halpi, Akauntan Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak Bahagian Limbang Farihana Aniza binti Taha, wakil Jurutera JKR Limbang, wakil Jurutera JPS Limbang dan wakil Jurutera JBALB Limbang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru