Di sebalik kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji membayar 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak, wira PH yang cuba mempertahankan kedudukan kerajaan yang memerintah 16 bulan itu, Chong Chieng Jen berkata lain pula dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP malam tadi.

Pengerusi DAP Sarawak yang kini timbalan menteri kerajaan persekutuan mempertahankan bahawa bayaran royalti minyak dan gas 20 peratus berbanding lima peratus ketika ini kepada Sarawak seperti dijanjikan PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) adalah bersyarat.

Ini satu lagi cerita putar alam dan silap mata untuk memperdaya rakyat dan menjustifikasikan segala tindak-tanduk dan kenyataan mengapa 20 peratus tidak ditunaikan.

Namun Chong lupa akan kenyataan dan janji beliau di DUN Sarawak sebelum PRU lalu.

Video ucapan berkenaan yang telah beberapa kali tular membuktikan bahawa Chong berjanji dengan lantang, Kerajaan Sarawak tidak perlu meminta, PH akan beri jika menang dalam PRU-14.

Sekarang PH sudah menang, apa ceritanya lain pula. Ada syarat dan sebagainya.

 

Pengerusi PH Sarawak itu  berkata, syarat ditetapkan oleh PH jika bayaran royalti 20 peratus minyak dan gas ditambah 50 peratus daripada hasil kutipan cukai di Sarawak mesti digunakan sebagai tanggujawab fiskal oleh Kerajaan Sarawak untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan di negeri ini.

Saya fikir, ini bukan masalah besar. Saya percaya jika itu yang menjadi syaratnya, bukan susah untuk dipatuhi. Bukankah sudah berkali-kali Kerajaan Sarawak menyatakan, semua itu adalah untuk kesejahteraan rakyat Sarawak, terutamanya mereka di luar bandar.

Hakikatnya, Kerajaan PH perlu tunaikan janji itu dulu, dan tidak usah bercakap tentang syarat hanya sebagai helah untuk mengelak daripada menunaikan janji berkenaan. Bukankah sudah termaktub dalam manifesto PH, dan tidak pula dinyatakan syarat berkenaan dalam manifesto itu.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dipetik berkata, PH telah menawarkan perjanjian tersebut kepada Sarawak ketika itu yang masih di bawah BN sebelum PRU-14 lalu.

Beliau berkata perjanjian ditandatangani olehnya bersama-sama Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan Pengerusi  Amanah Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi.

Menurutnya, dalam perjanjian itu PH komited menyahpusatkan fiskal dan akan menyerahkan kuasa percukaian dengan menyerahkan 50 peratus daripada hasil cukai dikutip di Sarawak kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata ia merupakan tambahan kepada 20 peratus royalti minyak dan gas atau nilai setara daripada kerajaan persekutuan.

Ini cerita ayam dan itik, Chong. Beri duit itu dulu.

Di New York  beberapa hari lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak dan Sabah bermakna Petronas tidak lagi menjadi syarikat minyak antarabangsa seperti sepatutnya.

Dr Mahathir juga dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan sedang mencuba untuk mencari kaedah mengenai bagaimana ia dapat menyalurkan lebih banyak dana kepada kedua-dua negeri tanpa menjejaskan kekuatan Petronas.

Susulan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari menjelaskan pada Sabtu bahawa Kerajaan Sarawak telah mengemukakan formula baharu kepada Putrajaya mengenai ‘perkongsian hasil’ dengan Petronas dalam usaha untuk mendapatkan semula kehilangan hasil daripada royalti minyak.

Beliau berkata formula baharu itu telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan tetapi tidak menyatakan tarikhnya.

Abang Johari berkata beliau sedar bahawa entiti berkaitan kerajaan itu ialah sebuah syarikat antarabangsa tetapi itu tidak bermakna ia menyebabkan negeri kehilangan hasil.

“Kita tahun bahawa Petronas syarikat antarabangsa, tetapi tidak bermaksud mereka boleh melucutkan hak Sarawak mendapatkan hasil minyak dan gas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan sempena Hari Wanita Sarawak 2019, di sini, Ahad.

“Ada formula yang membolehkan Sarawak juga ambil bahagian. Saya telah menghantar cadangan, formula kita sendiri, ia modul baharu yang saya percaya tidak akan menjejaskan Petronas sebagai syarikat antarabangsa,” kata Ketua Menteri.

“Kami yang menghasilkan bahan mentah untuk Petronas dari segi gas serta minyak mentah, jadi saya mempunyai formula saya yang bersifat komersial,” katanya lagi. 

Chong dipetik berkata oleh media tempatan hari ini, sekarang terserah kepada Abang Johari. 

“Beliau mahu berbincang dengan PM, itu keputusannya dan rakyat Sarawak telah memberi mandat kepadanya,’ Chong dipetik berkata.

Chong  mengakui beliau tidak tahu apakah formula baharu yang dikatakan oleh Abang Johari itu.

Hakikatnya, hak Sarawak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu ditunaikan. 

Jangan pula Chong bercakap lain sekarang. Beliau perlu kaji balik semua kenyataan dan janjinya semasa BN masih memerintah dan beliau menjadi pembangkang. 

Nampaknya, dalam cuba mempertahankan diri, Chong terpaksa menelan air liurnya sendiri.