LIMBANG: Penganjuran apa-apa sahaja aktiviti termasuk melibatkan sukan akan turut disertai pasukan atau rakyat Brunei yang secara tidak langsung menjadikan sukan itu sebagai penganjuran peringkat antarabangsa. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Tanah Adat Dr Abdul Rahman Ismail berkata inilah yang menjadikan Limbang sebagai destinasi penganjuran program dan aktiviti berstatus antarabangsa. 

“Kelebihan penganjuran apa-apa kejohanan atau pertandingan  di Limbang akan disertai rakyat Brunei secara tidak langsung boleh dinaik taraf menjadi peringkat antarabangsa,” katanya pada Majlis Penangguhan Kejohanan Futsal Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Edisi Kedua di Stadium Tertutup, pada Ahad. 

Kejohanan itu dianjurkan Jabatan Imigresen Bahagian Limbang dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang selama 3 hari dan mendapat sambutan yang menggalakkan. 

Pasukan Sun Wukong JR muncul juara bagi kategori lelaki dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500 diikuti Naib Juara Pasukan Sea Eagle All Star membawa pulang wang tunai RM1,000 dan Pasukan Limbang Cops memenangi tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM700. 

Sementara itu, bagi kategori wanita juara dimenangi Pasukan AMK Infinity berjaya membawa pulang hadiah berupa RM1,000 diikuti Naib Johan Pasukan AJ FC yang membawa pulang wang tunai RM700 dan tempat ketiga dimenangi Pasukan AJ FT membawa pulang  wang tunai RM500. 

Beliau yang juga Adun Bukit Kota berkata pada tahun ini banyak aktiviti sukan disusun atur sama ada bertaraf tempatan atau antarabangsa.

“Banyak kejohanan sukan bola sepak diadakan antaranya melibatkan 7 piala menjadi rebutan iaitu Piala Belia, Piala Veteran, Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala YB Paulus dan Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. 

“Turut diadakan nanti, Pertandingan Futsal Terbuka Limbang pada bulan November ini,” ujarnya.  

Selain sukan bola sepak, satu Pertandingan Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang juga akan diadakan melibatkan penyertaan sebanyak 40 pasukan.