Pokok durian tradisional berbuah di dahan tinggi dan menunggu musim jatuh baharu dapat merasa isi buahnya.

Pokok durian moden yang dicangkuk dan menjalani kajian tanaman, berbuah lebih pantas dan rendang dengan pokok yang rendah di ladang-ladang komersial.

Kerja mengutip hasil buahnya mudah, bahkan dapat ditanam di laman kawasan perumahan.

Namun, jarang diketahui terdapat spesies durian hutan tradisional yang pokoknya tegak meninggi, tetapi berbuah pada perdu bahagian bawah pokok.

Ada yang melimpah sehingga ke tanah.

Baunya tidak sekuat durian biasa bahkan ada yang dikatakan tidak memiliki aroma.

Namanya sesuai dengan kedudukan buahnya iaitu sehingga kura-kura pun dapat mencapainya.

Menurut Wikipedia, Durian Kura-kura atau nama botaninya Durio Testudinarium sejenis pokok buah durian liar yang tumbuh di hutan Pulau Borneo.

Pusat Pemantauan Pemuliharaan Dunia meletakkan durian ini pada senarai merah spesies terancam.

Di Sarawak, Durian Kura-Kura berkulit kuning pucat dan ada yang hampir coklat dapat ditemui tumbuh liar di Bekenu, Sibuti dan di Limbang dengan ada yang berusia 50 tahun.

Bahkan, terdapat pokok baharu yang mula ditanam kerana diketahui mendapat perhatian pelancong yang kagum melihat durian berbuah pada pangkal perdu di tanah.

Isu Durian Kura-Kura kekuningan tidak semanis durian biasa.

Selain Sarawak, durian ini tumbuh meliar di hutan Kalimantan.

Sebuah artikel di: https://www.yearofthedurian.com/2012/12/durian-kura-kura-found.html bagaimana warga Amerika menulis dengan nada “marah” mengetahui penduduk setempat tidak menghargai durian ini.

“Mencari Durian Kura-Kura (Durio testudinarum) di Limbang sangat menjengkelkan. Ia hampir membuat saya marah. Ia hanya di sana, di pasar harian, dijual dalam timbunan bersama yang lain… ”

Tambah penulis portal itu: “Di sinilah Durian Kura-Kura dijual ditompokkan bersama jualan kacang berbau busuk dan terap.

“Saya tak pernah melihat ia (Durian Kura-Kura) dijual di pasaran sebelum ini. Ia ada di situ, seperti biasa sahaja dan seolah-olah ia bukan salah satu durian yang paling sukar dicari.

“Warga tempatan selalu memberitahu saya mereka tidak menyukainya, jadi mengapa perlu mereka ke hutan mengutipnya.

Portal yearofthedurian.com menulis hampir lengkap tentang keistimewaan durian di dunia.

Teruja dengan Durian Kura-Kura, kumpulan “pengkaji” dan peminat raja buah ini menjejak pokok Durian Kura-Kura di hutan Limbang yang ditunjukkan oleh rakan Instagramnya.

“Awalnya saya fikir Durian Kura-Kura pokoknya kecil. Saya salah. Pokoknya sangat besar. Saya tak dapat memeluk sekeliling batangnya. “Saya terkejut melihat buah yang tumbuh dari mana-mana celah pokok ini, bukan hanya bahagian bawah, tetapi di mana-mana sahaja. Ia seperti salji pada hari Krismas, kami gembira.

“Dan kemudian satu perkara ajaib berlaku. Saya makan banyak Durian Kura-Kura, perut saya benar-benar penuh.”

 

Durian Brunei
Durian Kuning
Durian Merah