Monday, August 15, 2022

Kerajaan Persekutuan perlu bayar cukai demi kebajikan rakyat Sarawak

Secara Rawak

BAYAR sebelum 31 Oktober atau Kerajaan Sarawak akan mengambil tindakan drastik dengan menyaman Petronas.

Tidak sabar lagi dengan kerenah Kerajaan Persekutuan, maka berhubung sikap berdolak-dalihnya berkaitan pembayaran hasil cukai minyak dan gas, akhirnya Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing kata dua.

Ya, jika syarikat minyak terkemuka itu gagal membayar cukai minyak dan gas 5 peratus kepada Kerajaan Sarawak kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Sarawak buat pertama kali  mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum berkuat kuasa 1 Januari lalu, tetapi Petronas belum lagi membayar cukai berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu dalam pembentangan Bajet Sarawak 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak November lalu.

Menurut Abang Johari, levi cukai berkenaan akan dikenakan ke atas beberapa sumber termasuk minyak mentah, gas mentah, gas asli cecair, baja berasas kimia dan gas produk cecair yang mampu menghasilkan pendapatan sejumlah RM3.897 bilion.

Pelaksanaan cukai tersebut katanya, yang adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan di dalam Jadual 10 Bahagian Lima Kurungan 7, bahawa Kerajaan Negeri dibenarkan mengenakan cukai jualan negeri di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak berkata, perolehan yang lebih tinggi dijangka dari aliran hasil baharu. Ini  termasuk penjanaan menerusi sumber pendapatan lain, serta alternatif pembiayaan yang akan membantu Kerajaan Sarawak meneruskan semua program pembangunan dan projek utama, termasuk yang dibatalkan Kerajaan Persekutuan.

“Kami akan meneruskan usaha-usaha kami dalam mempelbagaikan hasil dalam negeri berdasarkan peruntukan undang-undang yang mampu merancak pembangunan dalam usaha kami mencapai visi Sarawak sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi pada 2030,” katanya.

Menurut Abang Johari, hasil pendapatan baharu ini bakal mensasar rekod hasil melebihi RM10 bilion pada 2019, manakala bajet 2019 mensasar lebih belanjawan sejumlah RM122 juta.

Namun, bagai tidak bersetuju dengan langkah itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata, rakyat Sarawak akan menanggung beban apabila kerajaan negeri mengenakan cukai lima peratus terhadap produk petroleum.

Beliau berkata cukai tambahan yang dikenakan itu akan ditanggung oleh penduduk di sana.

“Kalau kenakan cukai tambahan, orang mereka (Sarawak) akan tanggung. Mereka akan beli minyak pada harga yang lebih,” katanya.

Kenyataan Dr Mahathir sukar dipercayai, kerana ia sebenarnya bertujuan untuk membantu rakyat, dan bukan membebankannya. Ini bukan seperti cukai GST atau SST.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, dipetik media sebagai berkata, hasil pengenalan cukai itu bakal menjana pulangan RM3.9 bilion.

“Berdasarkan Jadual 10 Perkara V(7) Perlembagaan Persekutuan, negeri dibenarkan mengenakan cukai jualan negeri. Justeru, bermula Januari ini, kita mengenakan cukai jualan ke atas minyak mentah; gas asli; cecair gas asli; baja berasaskan kimia dan produk gas kepada cecair.

Sesungguhnya, pengenalan cukai jualan ke atas produk petroleum menjadi aliran pendapatan baharu kepada Sarawak sebagai alternatif membiayai dana bagi menyokong program pembangunan di negeri ini.

Tentu ini sesuatu yang mengembirakan rakyat, tetapi dengan liatnya Petronas membayar cukai berkenaan. Tentu ia boleh menyebabkan rakyat kecewa dan marah.

Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengambil mudah akan isu ini, kerana ia membabitkan soal hak di bawah Perlembagaan Persekutuan. Jangan sampai isu ini ditangguh-tangguhkan. Sudahlah isu royalti minyak 20 peratus belum dikotakan, isu hasil jualan minyak 5 peratus ini juga belum selesai.

Isu ini dapat dianggap sebagai duri dalam daging. Lagi cepat duri dicabut, lagi baik.

Pengenalan cukai baharu itu signifikan bagi memacu pertumbuhan pembangunan supaya setaraf dengan pembangunan di kawasan Semenanjung, selain mengurangkan jurang antara kawasan bandar dengan luar bandar. Sarawak akan dapat menumpukan pembangunan luar bandar untuk merancakkan aktiviti ekonomi tahap tinggi jika cukai ini diperoleh.

Setidak-tidaknya, ia dapat digunakan untuk melaksanakan projek pembangunan di luar bandar yang banyak dibatalkan oleh kerajaan PH selepas mereka berkuasa 10 Mei tahun lalu.

Ia tidak boleh menghukum 2.7 juta rakyat Sarawak dengan tidak membayar cukai berkenaan.

Ya, seperti kata Masing, Kerajaan PH tidak boleh tidak mengotakan janji berkenaan begitu sahaja.

“Itu maksudnya menipu,” kata beliau.

“Saya kata tak lagi boleh berbohong. Singkirkan PH dalam PRU-15 nanti. Mereka memalukan rakyat Malaysia,” katanya.

Sebenarnya, Petronas dan Kerajaan PH tiada pilihan. Ia perlu membayar cukai hasil jualan minyak dan gas itu kepada Kerajaan Sarawak demi kepentingan dan kebajikan rakyat Sarawak.

Ingat, janji perlu ditunaikan kerana maruah dan integriti pemimpin diukur dari keupayaannya menunaikan janji.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru