Terdapat 3 blok parti di Sarawak, iaitu Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. GPS pula terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak United Peoples’ Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) and Progressive Democratic Party (PDP). Sudah pasti terdapat persaingan sengit pada pilihan raya negeri yang akan datang kerana kepelbagaian parti yang bertanding dan ini memeriahkan dunia demokrasi di Sarawak.
Salah satu blok yang perlu diberikan perhatian ialah Sarawak Baru. Blok ini terdiri daripada empat parti iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), State Reform Party (STAR), Sarawak Worker’s Party (SWP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).
Parti Pekerja Sarawak
Setiap parti ini mempunyai sejarah tersendiri. Parti Pekerja Sarawak misalnya ialah serpihan parti yang dibentuk oleh bekas pimpinan Parti Rakyat Sarawak yang diketuai oleh Larry Sng Wei Shein yang mengambil alih parti Sabah People’s Front dan kemudian dijenamakan. Tidak ada apa-apa pencapaian dari segi kemenangan. Pemimpin pengasas Larry Sng sendiri banyak kolam politik beliau mandi termasuk dalam Parti Bansa Dayak Sarawak (2001-2004), Parti Rakyat Sarawak (2004-2012), Parti Pekerja Sarawak (2012-2016), Bebas (2016-2018) dan kemudian Larry keluar parti, menjadi bebas sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat. Ternyata parti ini dijadikan batu loncatan untuk bergerak maju ke parti lain sebagaimana dilakukan oleh Larry Sng.
PBDSB
Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) parti yang yang berdaftar sejak 2013. Namun dari segi prestasi tidaklah berjaya mememangi hati pengundi dayak meskipun nama parti dan perjuangan parti berteraskan agenda perjuangan dayak. Buktinya, dalam pilihan raya negeri Sarawak dan Parlimen tidak lagi menang dalam mana-mana pilihan raya tersebut. Baru-baru ini, timbul pula isu parti ini berdepan dengan masalah dengan ROS dan kemungkinan boleh dibubarkan sekiranya tidak diselesaikan dengan segera isu beberapa dokumen tahunan yang perlu dihantar kepada ROS.
Star
Parti Star juga merupakan parti Reformasi Negeri (STAR) ditubuhkan sejak tahun 1996 oleh Patau Rubis. Namun setakat ini prestasi parti ini belum menyakinkan pengundi pelbagai etnik di Sarawak kerana pada pilihan negeri dan umum lepas tewas dalam 11 kerusi yang pernah ditandingi mereka. Presiden parti Star, Soo Lina banyak mengetengahkan isu-isu perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sarawak. Namun rakyat Sarawak lebih percaya bahasa GPS lebih mempunyai kelebihan dalam menyuarakan isu ini dan berunding dengan Putrajaya.
TERAS
Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) ditubuhkan pada tahun 2013 merupakan pecahan daripada parti Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) yang mesra BN Sarawak ketika itu, namun penyertaan ke BN ditolak meskipun kerjasama TERAS dan BN dibuat pada pilihan raya negeri Sarawak 2016. Parti ini kehilangan banyak pemimpin apabila ramai keluar menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan PBB.
Hambatan Sarawak Baru
Namun sejauhmanakah kemampuan blok politik baru ini mampu memberikan ancaman politik kepada blok Pakatan Harapan dan Gabungan Parti Sarawak? Pakatan Harapan merupakan parti pemerintah negara dan mempunyai mekanisme penting dalam terus memperluaskan pengaruh kuasa mereka. Misalnya, Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) oleh PH ialah usaha untuk menembusi pengaruh politik ke Sarawak.
Hal ini kerana terdapat arahan daripada kerajaan negeri untuk menghalang ketua-ketua kaum dan masyarakat daripada menghadiri majlis-majlis anjuran kerajaan persekutuan yang dilihat tidak adil oleh PH. Maka, dengan mewujudkan MPKK ini dijadikan saluran untuk kerajaan persekutuan menyalurkan maklumat dan projek yang hendak dilaksanakan di peringkat kampung. Penyebaran maklumat, integrasi dengan penduduk lebih dekat lagi, pemakluman projek-projek kerajaan persekutuan yang akan dilaksanakan di peringkat kampung.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula ialah kerajaan yang memerintah negeri Sarawak dengan 68 buah kerusi dewan undangan negeri Sarawak dimenangi dan empat kerusi DUN kini dimiliki oleh PSB. Sebagai kerajaan negeri, GPS mempunyai mekanisme dalam mengawal politik akar umbi melalui pelantikan ketua kaum atau ketua masyarakat adalah kuasa kerajaan negeri di bawah undang-undang negeri Sarawak.
Peruntukan pembangunan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) merupakan mekanisme yang membolehkan pembangunan dapat digerakkan dengan lebih rancak dan mampu menarik sokongan rakyat. Sarawak merupakan satu-satu negeri yang melaksanakan MRP dan RTP ini dengan mengambil kira dua pertiga ahi DUN mewakili luar bandar. Sejumlah RM 5 juta untuk RTP manakala RM4 juta di bawah MRP. Ia disalurkan menerusi menerusi Pejabat Residen di kawasan masing-masing dan agensi-agensi pelaksana. Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem memperkenalkan peruntukan RTP ini dan diteruskan oleh Ketua Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Sudah tentu blok politik Sarawak Baru tidak mampu menyaingi kemudahan yang ada pada kerajaan negeri yang memerintah. Rakyat sudah pasti mahu pembangunan di kawasan luar bandar melalui peruntukan tersebut untuk kawasan luar bandar khususnya dan memberikan ksejahteraan kawasan bandar umumnya.
Pakatan Harapan pula mempunyai program Projek Infrastuktur Asas yang digunakan untuk memberikan pembangunan transformasi luar bandar yang blok politik Sarawak Baru setakat ini tidak ada kelebihan ini. Maka mereka perlu berjuang secara menyeluruh, membentuk barisan kepimpinan yang lebih dinamik, mendapatkan dana lebih besar untuk bergerak ke akar umbi dan lebih bekerja keras, membina naratif-naratif politik yang lebih segar bagi menandingi Pakatan Harapan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Sekiranya tidak, mereka akan terus berhadapan dengan kekalahan dan hilang wang deposit.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.