KADUNA:  Polis berjaya membebaskan 300 pelajar yang menjadi mangsa kekerasan di sebuah sekolah asrama Islam di  Kaduna, Nigeria. 

Ratusan pelajar dilaporkan kaki diikat dengan rantai besi di sekolah yang sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu.

Polis  menemukan ruang penyeksaan di dalam sekolah itu, tempat para  pelajar terbabit dirantai, digantung, dan dipukul.

“Mereka mengalami kekerasan seksual. Di antara mereka mengaku diliwat oleh para guru,”  lapor AFP yang memetik jurucakap polis.

Polis menggeledah sebuah  bangunan di kawasan Kaduna pada Khamis dan berkata, mangsa dalam keadaan sangat menyedihkan.

“Kami menemukan sekitar 100 pelajar dalam keadaan diikat rantai di sebuah ruangan kecil. Antara mereka ada yang masih berusia sembilan tahun,” kata jurucakap polis yang dipetik agensi berita itu. 

“Mereka dikurung dengan alasan untuk belajar dan menjadikan mereka orang yang bertanggungjawab,” katanya.

“Pelajar yang masuk ke sekolah itu kebanyakan sengaja didaftarkan orang tua untuk mendalami al-Quran dan direhabilitasi daripada penyalahgunaan dadah serta penyakit lainnya,” kata laporan itu.

Pemilik sekolah dan enam staf ditangkap dalam kejadian itu. 

“Para pelajar yang diselamatkan kebanyakan memiliki bekas luka di punggung dan mengalami cedera serius,” katanya lagi.