LAWAS: Pendekatan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat sekolah suatu yang harus dititikberatkan memandangkan kawasan Limbang akan menerima pelaburan yang besar pada jangka panjang dalam sektor minyak dan gas.

Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong berkata, beliau menyokong penuh pendekatan yang dilakukan SMK Marapok dengan menitikberatkan pembelajaran Sains dan Matematik.

“Tahniah kepada pihak sekolah yang telah menyertai beberapa pertandingan berkaitan Sains dan Matematik di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa, dan berjaya memperoleh kejayaan serta pingat dalam pertandingan yang disertai.

“Kejayaan yang dikecapi ini ialah hasil curahan tenaga guru, dorongan ibu bapa mahupun bantuan agensi serta sektor korporat,” katanya, pada perasmian Program Science-Math for Life di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapok.

Henry turut memaklumkan bahawa kemajuan dalam sains dan teknologi penting untuk kita meneroka perkara baharu seperti yang diperkenalkan kerajaan menerusi Sains Technology, Engineering and Mathematic (STEM).

“Lawas akan menjadi kawasan pengeluar minyak dan gas terkemuka di Sarawak menjelang hujung tahun ini,” katanya.

“Ini kerana industri minyak dan gas akan menyediakan peluang pekerjaan dan membangunkan kawasan Lawas sebagai tumpuan di seluruh dunia,” ujarnya.

Ibu bapa dan pelajar perlu mengambil peluang ini dengan mendorong anak-anak yang masih di bangku sekolah untuk terus belajar sehingga mencapai ke peringkat tinggi bagi mengisi keperluan kepakaran dalam bidang kilang pemprosesan minyak di Lawas akan datang.