Saturday, August 20, 2022

Bila lagi hendak beri royalti minyak 20 peratus?

Secara Rawak

PERDANA MENTERI di Dewan Rakyat pada Khamis 19 Julai 2018 berkata, kerajaan akan memenuhi janji menyalurkan royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Pakatan Harapan (PH), dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk meningkatkan royalti bagi semua negeri pengeluar petroleum kepada 20 peratus, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak menerima royalti petroleum lima peratus.

Semua rakyat tahu dan sedar, tuntutan 20 royalti minyak adalah sebahagian manifesto parti itu. Rakyat dan pengundi di Sabah dan Sarawak begitu terpesona dengan janji itu, menyebabkan sebahagian mereka menyokong PH dalam PRU-14,  pada 9 Mei tahun lalu yang menyaksikan BN tumbang.

Manifesto yang digubal Pakatan Harapan menjanjikan 20 peratus royalti kepada pengeluar minyak.

Pakatan Harapan (PH) Sarawak  turut memberi jaminan akan terus menuntut royalti minyak 20 peratus seperti termaktub dalam manifestonya.

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen  pada Julai tahun lalu bercakap di hadapan media  berkata di bawah Manifesto PH dua perkara dijanjikan, pertama, 20 peratus (tambahan 15 peratus) royalti minyak dan gas selain 50 peratus daripada keseluruhan hasil cukai dikumpul di Sarawak diberikan kepada Kerajaan Sarawak.

Malah ujarnya, dipersetujui dalam manifesto berkenaan, sekiranya syarikat minyak dan gas tidak mampu membayar royalti 20 peratus, kerajaan persekutuan akan menambah jumlah yang kurang.

Ia katanya, seiring dengan agenda ‘Autonomi Negeri’ PH Sarawak.

Jadi, wajar jika sekarang 2.7 juta rakyat Sarawak bertanya kepada Chong, apa sudah jadi dengan janji dalam manifesto itu?

Mereka wajar mendesak pemimpin utama DA P sarawak untuk untuk mengotakan janjinya.

Jangan pula beliau berdolak-dalih dengan memberi seribu satu alasan.

Adakah Chong hendak mencari helah lagi hanya untuk memenuhi kehendak tuannya di Putrajaya?

Chong perlu ingat juga kata-katanya dalam ucapan yang disampaikan di Dewan Undangan Negeri.

Chong dengan lantang dan begitu yakin berkata, jika PH menang, walaupun Sarawak masih diperintah parti yang sama, ia akan tunaikan janji itu.

“Anda tak perlu minta, kami akan beri,” katanya dengan gaya khas Chong, yang begitu yakin dengan kata-katanya itu.

Atau adakah beliau terpaksa menelan air liurnya sendiri kali ini?

Pada 1 Ogos tahun lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali menegaskan Pakatan Harapan tidak memungkiri janji manifestonya dalam hal berkaitan pemberian royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar.

Katanya, pembayaran royalti yang dimaksudkan dalam manifesto tersebut adalah dalam konteks seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Sementara itu, selepas meraikan ulang tahun ke-55 penubuhan Malaysia di Kota Kinabalu pada tahun lepas, Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa perlu ada kajian menyeluruh sebelum keputusan membayar 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu berhati-hati dalam hal itu kerana jika dilaksanakan, ada kemungkinan operasi Petronas akan lumpuh.

“Sekiranya anda hanya menggunakan Petronas semata-mata untuk mengutip royalti, kita akan kehilangan banyak perkara. Kita perlu mengekalkan kekuatan Petronas,” kata beliau.

Di  Dewan Rakyat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai menteri hal ehwal ekonomi juga pernah berkata, royalti 20 peratus itu bertentangan dengan Akta Pengeluaran Petroleum 1974.

Azmin mengatakan pemberian royalti 20 peratus ini tidak boleh dilaksanakan segera kerana perlu meminda akta terlebih dahulu.

Bermakna, ia mungkin tidak akan dilaksanakan kerana meminda akta itu bukan mudah dan dijangka kerajaan tidak akan mempunyai iltizam untuk melaksanakannya

Beliau mengakui pembayaran royalti sebanyak 20 peratus akan membebankan Kerajaan Persekutuan dan Petronas.

Kerajaan negeri pengeluar petroleum sudah menunjukkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Kerajaan Persekutuan melengah-lengahkan usaha menunaikan janji berkenaan.

Rakyat Sabah dan Sarawak perlu mendesak mereka sehingga janji itu ditunaikan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru