Tuesday, January 25, 2022

PAS tak relevan di Sarawak

Secara Rawak

Minggu lepas hangat dibahaskan di media cetak dan media elektronik berkaitan dengan isu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di bumi kenyalang. Ini berikutan daripada kunjungan hormat Menteri Besar Terengganu kepada Ketua Menteri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia baru-baru ini. Kunjungan ini telah ditakrifkan dengan pelbagai takrifan daripada media dan pemimpin politik di Sarawak.

PAS merupakan salah satu parti politik Melayu yang tertua di Malaysia. Kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Ini merupakan parti politik Melayu yang berasal di Semenanjung Malaysia.

Di bumi kenyalang, secara praktikal PAS sudah berjinak dalam politik Sarawak bermula dari tahun 1986 apabila menubuhkan cawangan PAS di Bintulu. Namun sehingga kini, PAS belum berjaya memetakan diri dalam peta politik Sarawak. PAS belum ada satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pun di Sarawak. Ini jelas membuktikan PAS tidak diterima oleh rakyat di bumi kenyalang.

Persoalannya, apakah merit yang PAS ada untuk bekerjasama dengan GPS seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak? Sejauhmanakah perjuangan PAS sebagai sebuah parti yang terkenal dengan agenda Islam dapat di terima oleh rakyat Sarawak? Persoalan ini seharusnya diperhalusi agar dapat memberi kefahaman kenapa ideologi PAS tidak sesuai atau diterima oleh rakyat Sarawak.

Spekulasi ini terjadi rentetan daripada pertemuan Menteri Besar Terengganu Datuk Dr Ahmad Samsuri dan Hadi terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini. Perkara ini telah dipolitikan oleh sesetengah pemimpin politik di Sarawak terutama DAP. Mainan politik ini telah menjadikan isu ini hangat diperdebatkan.

Beberapa orang pemimpin dalam GPS juga turut bersuara bagi menangkis tohmahan yang mengatakan GPS menyokong PAS yang kini bersama dengan UMNO dalam memperjuangkan agenda Melayu. Kerjasama UMNO-PAS melalui Muafakat Nasional yang lahir atas dakwaan bahawa agenda Melayu dalam kerajaan Malaysia Baharu pimpinan PH kian terancam. Ini merupakan soladariti dua buah parti politik Melayu terbesar di negara kita.

Dalam konteks Sarawak, Ketua Menteri Sarawak menegaskan bahawa, Sarawak tidak mahu campur tangan dalam urusan UMNO-PAS kerana ia mahu memberi tumpuan terhadap Sarawak. Beliau turut mengatakan bahawa mereka bukan dalam BN lagi. GPS yang diterajui oleh Ketua Menteri merupakan sebuah gabungan politik tempatan di Sarawak.

Hakikatnya, GPS tidak akan bekerjasama dengan PAS di Sarawak kerana PAS merupakan seteru politik mereka semasa masih dalam BN lagi sehingga kini. Apa yang lebih penting adalah, ideologi politik PAS itu sendiri tidak sesuai untuk dipraktikan di bumi kenyalang. Kalau ideologi PAS diterima oleh rakyat Sarawak, pasti PAS sudah berjaya memenangi kerusi DUN di Sarawak serta memetakan parti dalam peta politik Sarawak.

Atas pertimbangan rakyat Sarawak yang menolak parti PAS sudah pasti disedari oleh GPS yang menolak sebarang kerjasama bersama PAS di bumi kenyalang. Mainan serta dakwaan politik oleh pemimpin DAP di Sarawak berkenaan dengan kerjasama PAS dan GPS hanya sandiwara politik semata-mata untuk menarik perhatian rakyat di Sarawak.

Namun begitu, maklumbalas PAS terhadap DAP dalam polemik ini jelas menunjukkan PAS perlu mencermin diri terlebih dahulu. Semasa PAS dan DAP masih tidur sebantal era gabungan Pakatan Rakyat, jelas DAP lebih diterima oleh rakyat Sarawak berbanding dengan PAS.

Kini DAP mempunyai 7 kerusi DUN di Sarawak berbanding PAS yang tidak pernah memenangi mana-mana kerusi DUN atau parlimen di Sarawak. Malahan DAP turut mempunyai 6 kerusi parlimen di Sarawak. Apa pun, ideologi DAP Sarawak lebih diterima oleh rakyat Sarawak berbanding dengan PAS apabila mengambil kira prestasi DAP kini.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru