Monday, August 15, 2022

Belajar daripada China: Bangkit daripada negara papa kedana 

Secara Rawak

KUCHING: Hanya dalam tempoh 70 tahun, China berubah daripada sebuah negara miskin dan papa kedana menjadi negara maju, kaya,  makmur dan kuat sehingga menjadi kekaguman dunia.

Pada 1949, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya US12.3 bilion dengan pendapatan per kapita US$23.

Menurut Konsul Jeneral China di Kuching Cheng Guanzhong, China ketika itu begitu mundur dari segi pertanian dengan bidang perindustrian yang terkebelakang.

“Kami tidak dapat mengeluarkan kereta dan pesawat pada ketika itu. Rakyat menderita kerana kekurangan makanan dan kekurangan bekalan pakaian, mancis dan keperluan seharian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan 70 Tahun Republik Rakyat China di sebuah hotel di sini malam tadi.

Katanya, KDNK Cina meningkat daripada US$12.3 bilion  pada 1949 kepada US$13.6 trilion pada 2018, dan pendapatan per kapita meningkat daripada US$23 kepada US$9,800,” katanya.

“Dalam tempoh 70 tahun, di bawah teraju Parti Komunis China, rakyat China telah bekerja keras dengan daya tahan dan perpaduan, melakukan reformasi dan inovasi, mengatasi pelbagai masalah, dan telah mencatatkan pencapaian luar biasa,” katanya dalam ucapan yang penuh dengan data dan fakta tentang pencapaian negara 1.3 bilion jiwa itu.

“China mampu membekalkan makanan untuk 20 peratus penduduk dunia,” katanya bangga.

“Lebih daripada 700 juta rakyat China telah dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan, menyumbang kepada 70 peratus pengurangan kadar kemiskinan global,” jelasnya.

Beliau berkata, jangka hayat rakyat meningkat daripada 35 tahun kepada 77 tahun.

“Rakyat China tidak lagi perlu risau tentang kekurangan makanan atau pakaian, kami kini lebih risau bagaimana mengurangkan berat badan dan menjadi sentiasa cergas. Kehidupan menjadi jauh lebih baik dan menggembirakan,” katanya.

“Dalam tempoh 70 tahun lalu, rakyat China yang bekerja kuat dan berbakat telah mencipta keajaiban demi keajaiban China,” katanya.

Guangzhong berkata,  jarak landasan kereta api di negara luas itu telah meningkat daripada 21,800 km kepada 131,000 km.

Katanya, landasan kereta api laju telah mencecah 29,000 km, menyumbang kepada 60 peratus rel kereta api laju dunia.

“China punya lebih daripada 1.3 bilion pengguna jalur lebar,” katanya.

“Sains dan teknologi China berkembang pantas berkali ganda dengan banyak kejayaan dalam penerokaan lounar, laut dalam, perkomputeran super dan penerokaan satelit,” katanya lagi.

Jelas beliau, China merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi global, menyumbang 30 peratus setiap tahun sejak beberapa tahun lalu.

Untuk rekod, China dijangka memintas Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Katanya, inisiatif ‘One Belt and One Road’ China mendapat sokongan 166 negara, wilayah dan pertubuhan antarabangsa, termasuk Malaysia.

“Kami bersedia bekerja dengan Malaysia dan negara lain bagi memperluaskan kepentingan bersama melalui dasar terbuka dan perkongsian peluang lewat kerjasama,” katanya lagi.

“Dari 1949 ke 2019, China tumbuh sebagai negara makmur dan berkuasa daripada negara miskin dan lemah, satu reformasi daripada negara yang mengamalkan pintu terbuka,” katanya.

“Kejayaan China dalam tempoh 70 tahun menghapuskan penghinaan dalam sejarah moden, melakarkan bab gemilang dalam sejarah tamadun moden manusia,” katanya.

“Rakyat China telah bangkit daripada penderitaan dan kini menjadi lebih kaya dan kuat, malah akan lebih  kaya dan kuat pada masa depan,” jelasnya.

Katanya, pada 2018, nilai perdagangan antara Malaysia dengan China telah melebihi RM100 bilion.

“Malaysia menjadi rakan dagang terbesar China dalam kalangan negara Asean untuk sepuluh tahun bertutur-turut,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru