Saturday, August 20, 2022

Kerjasama UMNO-PAS: Suatu ancaman?

Secara Rawak

Kerjasama UMNO-PAS  melalui Muafakat Nasional sudah pasti dapat mengukuhkan hubungan politik  kedua-dua parti ini yang selama ini tidak ada kerjasama yang jelas. Sudah pasti dari segi kekuatan politik dapat diperkukuh apabila tidak perlu bersaing di antara satu sama lain. 

Kerjasama ini  dapat mengukuhkan politik mereka melalui inisiatif kerjasama Melayu-Islam  yang selama semakin terpecah apabila kewujudan pelbagai parti Melayu seperti Bersatu, dan Amanah. Perpecahan politik Melayu pernah berlaku apabila diburukkan dengan Amanat Hadi yang memecahkan belahkan orang Islam hingga berlakunya perpecahan keluarga dan masyarakat  islam di Semenanjung Malaysia. Trauma politik ini masih diingati oleh masyarakat islam hingga ke hari ini.

Namun apabila akar umbi PAS dan UMNO berkumpul  dan mengadakan program di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra buat pertama kali dalam sejarah, ini merupakan detik yang menggembirakan.  Terdapat ahli PAS menyatakan berasa gayat untuk ke PWTC kerana inilah pertama kali mereka datang dan menjejak kaki ke tempat kubu kuat musuh politik mereka pada suatu ketika dahulu.

Kemunculan  dan kebangkitan  parti Islamik dan nasionalis  yang bergabung kekuatan atas nama perpaduan Melayu-Islam penting kerana mereka tahu  terdapat akar umbi mahukan penyatuan tersebut lebih kuat. Kebangkitan ini diperkuatkan oleh isu semasa yang melibatkan orang Melayu seperti isu ekonomi rakyat  yang kurang terbela, pendidikan, peluang pekerjaan, para pekebun dan petani yang tidak mempunyai pendapatan tetap pendapatan mereka semakin terjejas akibat kos hidup semakin tinggi manakala hasil jualan mereka  menurun. Selepas setahun pilihan raya umum perbezaan hasil pendapatan hasil kelapa sawit ialah RM 400. Ini bermakna pendapatan penananam kelapa sawit terjejas. 

Beberapa isu melibatkan kepentingan Melayu dan bumiputera seperti hak matrikulasi  terhakis, peluang ekonomi terjejas akibat pemotongan dan penjimatan belanjawan negara, maka kontraktor  terjejas ini memberikan kesan bukan sahaja kepada orang Melayu akan tetapi golongan perniagaan yang meluas khususnya dalam sektor perbekalan dan ini menyebabkan ekonomi terjejas. Begitu juga isu seperti pengecilan perkhidmatan awam, isu pencen yang semakin akan dihadkan kesemua ini dilihat menghakis hak Melayu dan bumiputera dan masyarakat seluruhnya. 

Jadi perikatan di antara UMNO dan Pas  merupakan satu bentuk mekanisme sosial yang dilahirkan untuk mengimbangi ketidaksamaan dari segi kebimbangan ekonomi dan sosial dalam masyarakat.   Memang terdapat kebimbangan sesetengah pihak tentang kebangkitan politik perkauman dan politik sayap kanan namun perkara ini tidak seharusnya dilihat daripada perspektif politik semata-mata sebaliknya  ia berkaitan dengan hak-hak Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan dan isu mekanisme sosial dan ekonomi masyarakat bumiputera secara keseluruhan.


Masyarakat Melayu-Islam  semakin terhakis keyakinan terhadap kerajaan sekarang  akibat kegagalan mengendalikan isu-isu seperti pengenalan pelajaran kaligrafi khat di sekolah-sekolah, dan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Pakatan Harapan juga mengambil maklum isu-isu ini, namun cara dan sikap Pas dan UMNO menonjolkan isu menjadikan pilihan jelas kalangan Melayu kini mulai mengarah kepada kedua-dua parti tersebut, meskipun parti tersebut menghadapi isu dalaman parti yang tersendiri. Sebagai parti pembangkang, ia kelihatan lebih mulai menyatu dalam menyuarakan suara-suara rakyat sebagaimana dilakukan Pakatan Rakyat terdahulu.

Daripada sokongan massa ia kelihatan semakin  mudah mendapat sejumlah sokongan semacam gerakan Bersih, dan pada masa yang sama Pakatan Harapan pula sukar mendapat gerombolan sokongan seperti ketika mereka menjadi pembangkang. Inilah adalah lumrah dalam politik pemerintah dan pembangkang tanpa mengira parti mana-mana parti yang memerintah.

Pas dan Umno kini bukan sahaja menggunakan isu Melayu dan Islam akan tetapi hak bumiputera yang terhakis.  Mereka mengungkapkan sebagai manifestasi suara Melayu dan bumiputera yang bimbang terhadap keadaan semasa apabila isu ekonomi dilihat semakin mengancam kehidupan rakyat, kurang menguntungkan rakyat.

Pakatan Harapan perlu mengkaji semula keadaan rakyat bawahan jika mereka tidak mahu terus kehilangan sokongan daripada majoriti Melayu dan Bumiputera yang menyumbang kira-kira 68 peratus daripada populasi negara.  Dari satu segi, terdapat perbaikan dan pembaharuan institusi oleh Pakatan akan tetapi rakyat lebih peduli isu kos hidup seharian yang dilihat lebih realistik. Dengan sentimen semasa ini Pas dan UMNO menangguk air yang keruh  dan cuba membina naratif politik bahawa mereka bersedia untuk mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan. 

Kesediaan mereka berdepan dengan Pakatan Harapan akan diperkukuhkan  dengan usaha menyatukan kumpulan etnik yang lain di negara ini. Ini kerana kedua-dua parti tersebut tidak dapat membentuk kerajaan tanpa diwakili oleh etnik yang lain.  Keterbukaan gerakan ini akan diuji dalam pilihan raya kecil di Tanjung Piai akan datang. Meskipun kerusi ini majoriti terdiri daripada etnik Melayu dan ditandingi oleh MCA pada pilihan raya lepas, maka kesediaan UMNO dan PAS memberikan ruang kepada MCA sekali untuk bertanding akan menunjukkan sikap dan jiwa besar UMNO dan PAS.

Hakikatnya lebih 90 peratus etnik Cina menyokong Pakatan Harapan pada pilihan raya lalu.  Ini merupakan ujian besar kepada etnik Cina sejauhmanakah kebaikan hati UMNO dan PAS memberikan kerusi tersebut untuk PRK tersebut akan dihargai oleh pengundi Cina di negara ini. Kalah atau menang ini akan memberikan impak kepada imej UMNO dan PAS yang mahu  dilihat tidak bersifat rasis dan mahu membantu, meskipun MCA pernah membayangkan akan keluar dari BN.

Hakikatnya,  UMNO dan PAS telah membuktikan mereka  mampu menyatukan kumpulan etnik lain selepas  peristiwa 13 Mei dan membentuk Barisan Nasional yang turut sama oleh PAS, seterusnya Umno menjadi  tulang belakang kepada Barisan Nasional. 

Kedua-dua parti ini  perlu membuktikan akan keupayaan mereka sekali lagi dalam memainkan peranan besar dalam menyatukan rakyat dan menjadi alternatif kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang untuk kepentingan semua  pihak melangkaui kepentingan etnik dan agama!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah  penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru