Friday, December 3, 2021

Peralatan satelit sumber utama maklumat

Secara Rawak

KUCHING: Peralatan satelit telah menjadi sumber utama maklumat bagi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB).

Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Justine Jok Jau Emang berkata, pihaknya telah mendapat manfaat daripada data satelit di Singapura dalam menyediakan jumlah titik panas yang dikenal pasti.

“Dengan menggunakan teknologi satelit, kita dapat merangka strategi untuk melawan api dan titik panas.

“Kita boleh kesan titik api dengan koordinat dan selain itu satelit telah menjadikan dunia lebih dekat sehingga maklumat dapat dikongsi di seluruh dunia dalam masa singkat, ” tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam satu mesyuarat untuk Persidangan dan Pameran Sarawak dan Persidangan Acceleration and Innovation Through Satellite Applications Sarawak (AISAS 2019) pada 23 hingga 24 September depan.

Persidangan itu bakal memberi peluang bagi rakyat Sarawak mendapatkan gambaran yang lebih mendalam mengenai apa yang aplikasi satelit boleh lakukan untuk memperkasakan kehidupan dan meneroka perkembangan dalam bidang berkenaan.

Seramai 300 perwakilan, termasuk dari Sabah yang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka menyertai persidangan tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi  Abang Johari Tun Openg dijangka hadir menyempurnakan Persidangan AISAS 2019 itu.

AISAS 2019 dianjurkan selaras dengan transformasi digital Kerajaan Sarawak yang bertujuan meningkatkan ekonomi digital dengan menyumbang 17.4 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri pada tahun 2025.

Peserta yang berminat kini boleh mendaftar di www.aisasatellite.com atau hubungi 082-420355

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru