Saturday, June 25, 2022

Pelantikan ketua kaum jangan sampai jejaskan perpaduan di Sarawak

Secara Rawak

Beberapa hari yang lepas, polemik berkaitan pemimpin di akar umbi hangat diperdebatkan di negeri Sarawak yang kini turut dicemari dengan jerebu yang mengakibatkan banyak sekolah telah ditutup. Kenyataan pemimpin pusat iaitu seorang Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah yang menegaskan bahawa kerajaan persekutuan akan melantik pemimpin di akar umbi iaitu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di bumi kenyalang pada tahun hadapan.

Setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan negara, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) telah dibubarkan dan dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Bagi semenanjung Malaysia, semua JKKK telah dibubarkan dan diganti dengan MPKK bagi memastikan kelestarian pembangunan di kawasan akar umbi atau kampung.

Memetik kenyataan Ahli Parlimen Saratok iaitu YB Tuan Ali Biju pada awal Mei lepas yang dikeluarkan oleh sebuah media cetak tempatan mengatatkan bahawa kampung dan rumah panjang di Sarawak tidak menerima peruntukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kerana penubuhan majlis itu tidak diiktiraf oleh Kerajaan Sarawak. MPKK telah diwujudkan untuk menggantikan JKKK di seluruh negara tetapi Sarawak masih mengguna pakai JKKK.

Malahan menurut ahli parlimen Saratok ini juga, “sebanyak RM100 juta geran telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk MPKK tetapi kampung-kampung dan rumah-rumah panjang di Sarawak tidak dapat menerima peruntukan ini kerana Kerajaan Sarawak tidak merestui penubuhan MPKK”. Ini menunjukkan pemimpin akar umbi ini seperti Ketua Kampung dan Tuai Rumah di Sarawak masih kekal dengan JKKK.

Persoalannya, sejauhmanakah perkara ini dapat memberi kebaikan kepada kampung atau rumah panjang? Apakah implikasi daripada polemik berkaitan pemimpin di akar umbi ini? Kenapa kerajaan negeri Sarawak tidak mahu mengiktiraf MPKK? Sama-sama kita teliti dan perhalusi persoalan ini.

Pemimpin akar umbi seperti Ketua Kampung dan Tuai Rumah memainkan peranan yang penting sebagai penghubung di antara rakyat dan kerajaan. Bagi Sarawak, pelantikan Tuai Rumah adalah di bawah Community Chief and Head Ordinance 2004 oleh kerajaan negeri.

Pelantikan Tuai Rumah dan Ketua Kampung ini adalah berdasarkan pemilihan oleh rakyat di sesebuah kampung atau rumah panjang. Selepas dipilih, pelantikan akan dibuat oleh Pejabat Residen atau Majlis Daerah dikawasan tersebut. Ini merupakan prosedur dalam pelantikan pemimpin akar umbi seperti Tuai Rumah yang sekian lama diamalkan di Sarawak.

Kenyataan terbaru oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang menyatakan bahawa pihak kerajaan persekutuan tidak akan menggantikan Ketua Kampung atau Tuai Rumah yang sedia ada namun hanya akan melantik Pengerusi MPKK di setiap buah kampung dan rumah panjang. Lantikan ini untuk memastikan ada wakil daripada kerajaan persekutuan di setiap kampung dan rumah panjang bagi memudahkan kerajaan persekutuan menerima serta menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Inisiatif kerajaan persekutuan ini harus dilihat dengan positif oleh rakyat Sarawak kerana ia dapat memberi kebaikan kepada setiap kawasan di luar bandar iaitu kampung-kampung dan rumah panjang. Ia dapat memudahkan kerajaan persekutuan menyalurkan terus peruntukkan pembangunan kepada kampung-kampung atau rumah panjang.

Sekiranya dapat dipertimbangkan Ketua Kampung dan Tuai Rumah secara automatik dilantik sebagai Pengerusi MPKK oleh kerajaan persekutuan. Ini dapat mengelakkan konflik dalam kalangan rakyat di sesebuah kampung atau rumah panjang. Penduduk kampung dan rumah panjang harus memandang positif perkara ini kerana penduduk di Sarawak bertuah ditadbir oleh dua buah kerajaan yang berbeza. Harus gunakan kelebihan ini untuk merancakkan lagi pembangunan di kampung atau rumah panjang.

Realitinya, sekiranya Ketua Kampung, Tuai Rumah dan bakal Pengerusi MPKK digunakan untuk tujuan politik kepartian masing-masing ia akan membawa keburukan kepada kampung dan rumah panjang. Ketepikan politik dalam meleraikan polemik pelantikan pemimpin akar umbi ini agar ia dapat memberi faedah kepada rakyat Sarawak terutama yang berada di luar bandar.

Para pemimpin kerajaan persekutuan perlu membuka ruang untuk perbincangan dengan kerajaan negeri bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Pastikan keputusan yang dibuat dapat memberi faedah serta kebaikan kepada penduduk kampung dan rumah panjang di setiap pelosok bumi kenyalang.

Ini adalah hakikat serta kebaikan bila ditadbir oleh dua buah kerajaan yang berbeza iaitu kerajaan pusat pimpinan PH dan kerajaan negeri pimpinan GPS. Kedua-dua kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang padu dalam menyantuni rakyat bagi memastikan sokongan dan dukungan daripada rakyat dapat diterjemahkan ke dalam peti undi pada PRN 12 nanti.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru