LIMBANG: Usaha mencari dua pelajar madrasah yang hilang masih giat dijalankan.

Muhammad Syukur A’zim Sharifuddin, 14 berasal dari Kampung Buangsiol Limbang dan Muhd Mirza Khairul Amirin Jamal, 14, berasal dari Kampung Sebelah Sundar Lawas telah dilaporkan hilang sejak Isnin yang lalu.

Kedua-dua mereka merupakan penuntut di sebuah Madrasah Tahfiz Al-Quran Seri Merinding, KG. Layang-Layangan Labuan.

Menurut Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah W.P Labuan, SJN Inu Hassim Mosten, kedua mereka mula disedari hilang oleh salah seorang penolong guru Tahfiz pada hari Isnin, jam lapan pagi apabila tidak berada di kediaman.

“Menyedari kehilangan tersebut, usaha mencari di kalangan tenaga pengajar Madrasah dikerahkan namun menemui jalan buntu.

“Setelah 24 jam mencari, akhirnya laporan dibuat di Balai Polis Bebuloh W.P Labuan,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan bahawa kedua-dua mangsa sudah dijumpai tular dalam media sosial adalah tidak benar.

Katanya, sehingga waktu ini belum ada laporan rasmi diterima berkaitan dua orang hilang tersebut telah dijumpai.

Pihaknya sudah menghubungi semua pihak berkaitan bagi mendapatkan info lanjut tetapi kedua-dua mereka masih belum dijumpai.

Siasatan masih diteruskan berkaitan kehilangan ini serta pelbagai tindakan telah diambil termasuk hebahan kepada semua balai-balai, media sosial, pintu keluar/masuk dan sebagainya.