KUCHING: Operasi memadam kebakaran tanah gambut di Sri Aman yang dijadualkan diadakan petang semalam tidak dapat diadakan disebabkan jarak penglihatan yang terhad dan sumber air yang meragukan.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam laporan kepada media memaklumkan operasi petang semalam yang menggunakan pesawat Bombardier CL-415 hanya dapat menumpukan kepada pemerhatian di kawasan kebakaran dan kawasan sekitarnya selepas usaha untuk memadam tidak dapat dilaksanakan.

“Operasi tidak dapat dijalankan kerana jarak penglihatan yang amat terhad serta sumber air yang meragukan.

“Operasi pada hari ini (semalam) lebih tertumpu kepada pemerhatian kawasan kebakaran dan kawasan sekitar,” katanya.

Pesawat Bombardier CL-415 yang dipandu juruterbang Kdr (M) Salihin bin Hamzah berlepas pada jam 2.04 petang semalam dan terbang selama 2.5 jam sebelum kembali ke Pangkalan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) pada jam 4.20 petang yang turut disertai dua orang pegawai Bomba dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak.

Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim memaklumkan pesawat Bombardier CL-415 tiba di Kuching pada pagi semalam dan memulakan operasi memadam kebakaran pada sebelah petang bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadamkan kebakaran di Sri Aman.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, sehingga kini hanya 51 hektar kawasan telah berjaya dipadam.

“Keluasan kawasan kebakaran adalah seluas 202 hektar namun setakat ini, hanya 51 hektar kawasan kebakaran yang berjaya dipadamkan,” katanya.

Beliau turut meminta agar orang awam untuk tidak memburukkan lagi keadaan dengan membuat pembakaran terbuka.