KUCHING: Keadaan jerebu yang semakin buruk di Selatan Sumatera, Indonesia bukan sahaja memberi kesan kepada manusia tetapi unggas dan haiwan.

Burung-burung terganggu kerana tidak dapat terbang di angkasa seperti biasa dan mencari makanan.

Burung tidak lagi hidup bebas dan terbang di angkasa kerana udara tempat berkelana dan terbang bebas sudah beracun.

Kehidupan burung turut terancam teruk.

Malah, udara yang sangat teruk tercemar menyebabkan burung mati dan jatuh dari udara.
Tular di media sosial seorang netizen berkongsikan video memaparkan puluhan burung terkulai jatuh ke tanah akibat terhidu udara tidak sihat itu.

Menurut netizen tersebut, video itu dikirim oleh sahabatnya. Berdasarkan bahasa percakapan individu di dalam video tersebut insiden berkenaan dipercayai berlaku di Indonesia memandangkan kualiti udara di beberapa wilayah negara 17,000 pulau itu sangat teruk ekoran kebakaran hutan.

Difahamkan, indeks pencemaran di Palangka Raya, ibu kota wilayah Kalimantan Tengah, berada pada paras 500 atau dikategorikan ‘berbahaya’.

World of Buzz yang melaporkan berita mengenai burung jatuh ke bumi mengejutkan semua pihak, ketika IPU dilaporkan mencecah 1,000 di Kalimantan.

“Burung jatuh dari langit kerana udara beracun yang kita sedut. Ini kerana aktiviti tidak bertanggungjawab yang mendatangkan bahaya kepada manusia dan haiwan,” kata seorang netizen Susan Lankester melalui Twitter.

Foto: Twitter