Saturday, August 20, 2022

Mengapa belia jauhi politik?

Secara Rawak

Pada tahun 2023 nanti apabila pilihan raya umum  akan diadakan jumlah pengundi dijangka meningkat kepada 22.7 juta.  Sebelum itu, jumlah pengundi hanyalah sekitar kurang separuh daripada itu, iaitu sebanyak 14.9 juta pengundi  berdasarkan rekod daftar pemilih pada pilihan raya umum ke-14. Ini bermakna terdapat peningkat lebih 50 peratus berbanding sebelum ini.

Semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun layak mengundi apabila undang-undang pendaftaran pemilih automatik diluluskan. Tidak perlu lagi untuk memohon didaftar sebagai pemilih bagi memudahkan proses kerana rakyat Malaysia memang sudah berdaftar apabila berumur 12 tahun.

Ruang yang luas ini mampu memberi peluang kepada ruang demokrasi bagi memastikan setiap suara rakyat didengari  dan menentukan hala tuju dan pembentukan negara dengan cara pilihan raya. Kesemua ini akan dapat mengubah landskap politik negara ini.

Impak kepada negara

Daripada 22.7 juta pengundi,  golongan pengundi muda dijangka akan mempunyai melebihi 48 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan. Sesungguhnya angka ini sangat besar dan menjadi kuasa besar menentukan jatuh dan bangun  kepada mana-mana parti politik.

Sama ada BN, PH atau GPS di Sarawak, komponen parti tersebut perlu merangka strategi yang paling ampuh  untuk mendaftarkan pengundi muda untuk menyertai parti mereka. Peranan pendidikan untuk mengadakan program  literasi politik perlu dipergiatkan agar kadar celik politik semakin meningkat. Pada masa yang sama, pendidikan demokrasi harus bermula di rumah,  sekolah rendah dan institusi pengajian tinggi untuk mendapat kesedaran yang lebih menyeluruh.

Pengguna aktif terhadap penggunan sosial media ialah golongan anak muda dan mereka terdedah dengan pelbagai informasi dan data situasi semasa. Namun, sekiranya tidak kritikal  terhadap pembacaan mereka terdedah juga pengaruh berita palsu yang boleh mengubah persepsi mereka terhadap isu negeri atau negara..

Jauhi politik?

Di Semenanjung Malaysia terdapat kecenderungan belia Melayu menjauhi politik. Pada menjelang pilihan raya 2018 yang  lalu terdapat 3.6 juta orang muda berusia 21 tahun ke atas termasuk golongan mahasiswa belum mendaftar sebagai pemilih untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Apabila kajian lapangan  dilakukan oleh kumpulan penyelidik penulis mengenai isu anak muda ini, ternyata  sebahagian daripada mereka kurang sedar kepentingan nilai undi yang ada pada mereka.  Mereka kurang dapat melihat impak satu undi mereka dapat menjatuhkan dan menaikkan sebuah kerajaan.  Makna satu undi sangat besar dalam sistem politik dan demokrasi. 

Kekecewaan terhadap politik

Sebahagian besar anak muda pula apabila ditemui oleh kumpulan penyelidik penulis menyatakan menyatakan, bahawa  kurang tepat untuk menyatakan mereka tidak peka terhadap politik semasa. Sebaliknya, mereka menegaskan bahawa terdapat kesedaran mereka ada, akan tetapi bagi mereka tidak ada tokoh yang dapat dijadikan idola atau inspirasi mereka untuk merasionalkan mereka untuk mengundi atau memilih pemimpin yang ditonjolkan oleh parti-parti yang ada.

Ramai anak muda menyatakan politik masa kini kurang dapat membantu kehidupan mereka yang bertungkus lumus membuat satu atau 2 kerja bagi menampung kehidupan seharian manakala orang politik asyik beretorik sahaja. 

Seorang mahasiswa mengikuti program ijazah lanjutan menyatakan beliau terpaksa bekerja menjadi cleaner dari rumah ke rumah orang di kota besar di Kuala Lumpur untuk menyara diri dan menampung kos yuran universiti yang semakin tinggi tanpa bantuan kerajaan yang sedia ada atau parti pembangkang.

Beberapa anak muda mempersoalkan isu yang hampir sama, “Bagaimana ijazah  dalam bidang yang sama seperti bidang kejuruteraan, ekonomi diambil oleh kami turut sama diambil oleh pelajar di Jepun, Korea Selatan dan Jerman.. Namun selepas tamat pengajian graduan Jepun, Korea Selatan dan Jerman senang mendapat peluang pekerjaan, akan tetapi kami  di negara ini masih lagi menganggur meskipun kami mempunyai kelebihan boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan lebih baik daripada pelajar luar tersebut”.

Politik kepartian

Situasi parti politik semasa dilihat anak muda sebagai  sibuk dengan politik kepartian yang sempit, perebutan kuasa sesama mereka sama ada di peringkat  cawangan hingga ke peringkat kepimpinan tinggi parti. Orang politik dilihat sering sibuk mengenai  kuasa hingga berlaku politik cantas mencantas dari peringkat atas hingga bawah.

Lihat sahaja isu peralihan kuasa Mahathir-Anwar seolah-olah dielakkan dan tidak dibincangkan secara spesifik kerana ia melibatkan persediaan pelbagai aspek.

Di peringkat bawah sering berlaku mencantas anak muda berbakat dan berpendidikan tinggi serta berintergriti, Di peringkat atas, berebut jawatan presiden, naib presiden, majlis tertinggi, hinggalah  ke peringkat perebutan jawatan ketua bahagian. Namun perhatian kepada isu anak muda tidak diserlahkan.

Ini belum lagi kemuakan anak muda mengenai politik lobi-melobi, politik mengampu dan hegemoni politik naungan. Kesannya, menurut kumpulan golongan muda  dalam satu kumpulan fokus yang diadakan baru-baru ini menegaskan bahawa pemilihan kepimpinan politik tidak melambangkan aspirasi orang muda.

Misalnya, pada suatu hari ahli politik menggunakan retorik  integriti perjuangkan nasib rakyat, namun pada minggu depan pula duduk di kandang mahkamah kerana  dibicarakan isu salah guna kuasa dan rasuah. Ia seolah-olah isu keperibadian, integriti dan kelayakan  kurang penting.

Janji palsu juga menyebabkan anak muda menolak untuk jauhi politik. Bagi mereka orang politik selalu berjanji akan tetapi kurang ditepati. Kata mereka, lihat sahaja manifesto PH dan berapa peratus dilaksanakan?  Ia seolah-olah kriteria hendak menjadi wakil rakyat hari ini ialah kebolehan menabur dan menjual janji-janji palsu yang menyakinkan. Inilah antara mengecewakan anak muda.  

Anak muda juga mendapati  politik di Malaysia masih didominasi oleh generasi lama manakala peluang anak muda daripada struktur kelas biasa untuk naik agak sukar. Hierarki politik dikuasai oleh politik naungan. Maka jurang kepimpinan baru dan lama semakin melebar.  Inilah menyebabkan aspirasi dan inspirasi yang berbeza di antara golongan anak muda.

Situasi yang berlaku di Semenanjung Malaysia ini wajar diambil iktibar oleh parti politik di Sarawak, baik GPS atau PH atau parti-parti lain untuk memahami sentimen pengundi muda. 

Seterusnya mencari jalan terbaik untuk menyakinkan lebih 40 peratus pengundi muda untuk menaikkan mereka  menjadi sebuah kerajaan atau berisiko parti mereka ditewaskan oleh suara anak muda!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.  

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru