KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyatakan kesediaan untuk menambah segala kemudahan pengawasan serta peralatan keselamatan di lokasi tumpuan pelancong.

Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut termasuk penggunaan teknologi terkini untuk pihak berkuasa mendapatkan sebarang maklum balas.

Mengambil contoh di Tebingan Kuching, pemasangan kamera litar tertutup akan ditambah bagi mengurangkan kadar jenayah di lokasi tersebut.

Jelasnya, ini merupakan salah satu usaha kerajaan Sarawak menjadikan Kuching sebagai Bandaraya Pintar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perpisahan dan Penghargaan Sempena Persaraan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri turut berkongsi mengenai penubuhan Kementerian Pengangkutan yang bertujuan untuk mengurus aliran trafik selain menyediakan laluan selesa kepada pengguna jalan raya di Kuching.