KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam berkata, kerajaan persekutuan tidak dapat menunaikan janji untuk membayar royalti minyak 20 peratus kepada Kerajaan Sarawak ketika ini disebabkan beban hutang ditanggungnya yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Ia bukan jumlah kecil. Hutang 1MDB, yang berkaitan dengan 1MDB dan skandal tak berkaitan 1MDB, semuanya membabitkan jumlah RM150 bilion,” katanya di sini semalam.
Guang Eng berkata, kerajaan berusaha memenuhi sebahagian daripada janjinya termasuk projek Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dengan Sabah.

Video ucapan Pengerusi PH Sarawak Chong Chien Jen di DUN Sarawak menjanjikan kadar berkenaan tular sekali lagi apabila beliau mengatakan tidak perlu bagi Kerajaan Sarawak meminta, PH akan tetap tunaikannya jika ia menang dalam PRU-14.

“Sudah sudahlah Lim Guan Eng. Anda dan Chong Chieng Jen sendiri yang telah berjanji. Mengapa terus-terusan hendak salahkan orang lain pula,” kata Ketua Whip GPS, Datuk Fadillah Yusop dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada keenyataan Guang Eng semalam.

“Beri sahaja royalti minyak dan gas 20 peratus seperti dijanjikan kepada Sarawak dan jangan lupa 50 peratus daripada hasil kutipan cukai di Sarawak, juga dijanjikan diberi kepada kerajaan negeri jika PH berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

“Dah setahun empat bulan PH berjaya menawan Putrajaya, mana pergi janji anda berdua? Sampai bila hendak menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan dan kegagalan diri?,” tanya Ahli Parlimen Petrajaya itu.

“Nampak sangat kamu hanya pandai mencari salah orang, dengan satu jari menunding ke arah kerajaan terdahulu, empat jari lagi tunjuk ke arah diri kamu sendiri yang gagal mentadbir dan mengurus kewangan negara,” ujarnya.

“Rakyat juga sudah muak dengan alasan kamu yang berterusan menyalahkan kerajaan terdahulu untuk menutup kelemahan dan kegagalan diri. Sudah lebih setahun memerintah, keadaan ekonomi bertambah buruk dan rakyat semakin dibebani kos sara hidup yang semakin tinggi, sedang pada masa ramai yang hilang pekerjaan,” katanya lagi.

“Apa yang Guan Eng selaku Menteri Kewangan buat? Cuma mampu menyalak sepanjang masa menyalahkan kerajaan terdahulu tanpa melaksanakan usaha untuk memperbaiki keadaan dan menarik lebih ramai pelabur ke negara ini. Malah Guan Eng menakut-nakutkan pelabur dengan tuduhan liar bahawa Sarawak akan bankrap. Mungkin Guan Eng sudah lupa beliau kini berada di pihak kerajaan,” katanya.