Sudah sudahlah Lim Guan Eng. Anda dan Chong Chieng Jen sendiri yang telah berjanji. Mengapa terus-terusan hendak salahkan orang lain pula?

Beri sahaja royalti minyak dan gas 20 peratus seperti dijanjikan kepada Sarawak dan jangan lupa 50 peratus daripada hasil kutipan cukai di Sarawak, juga dijanjikan diberi kepada kerajaan negeri jika PH berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dah setahun empat bulan PH berjaya menawan Putrajaya, mana pergi janji anda berdua? Sampai bila hendak menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan dan kegagalan diri?

Nampak sangat kamu hanya pandai mencari salah orang, dengan satu jari menunding ke arah kerajaan terdahulu, empat jari lagi tunjuk ke arah diri kamu sendiri yang gagal mentadbir dan mengurus kewangan negara.

Rakyat juga sudah muak dengan alasan kamu yang berterusan menyalahkan kerajaan terdahulu untuk menutup kelemahan dan kegagalan diri. Sudah lebih setahun memerintah, keadaan ekonomi bertambah buruk dan rakyat semakin dibebani kos sara hidup yang semakin tinggi, sedang pada masa ramai yang hilang pekerjaaan.

Apa yang Guan Eng selaku Menteri Kewangan buat? Cuma mampu menyalak sepanjang masa menyalahkan kerajaan terdahulu tanpa melaksanakan usaha untuk memperbaiki keadaan dan menarik lebih ramai pelabur ke negara ini. Malah Guan Eng menakut-nakutkan pelabur dengan tuduhan liar bahawa Sarawak akan bankrap. Mungkin Guan Eng sudah lupa beliau kini berada dipihak kerajaan sehingga tindak tanduk beliau masih lagi seperti pembangkang.

Malah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, sudah beberapa kali dari tahun lalu hingga ke tahun ini, meminta supaya pemimpin PH berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka dalam PRU-14.

Guan Eng sepatutnya ikut nasihat Tun Daim atau letak sahaja jawatan jika merasakan diri sendiri gagal melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Kenyataan Media
(Respon kepada Kenyataan Menteri Kewangan)

Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof
Ketua Whip GPS
Ahli Parlimen P.194