Tuesday, January 25, 2022

Sarawak contoh terbaik dalam perpaduan antara kaum

Secara Rawak

Tanggal 1 Ogos 2015, ibu negeri Sarawak iaitu Bandaraya Kuching telah di isytiharkan sebagai Bandaraya Perpaduan di Malaysia. Sejarah yang tertulis ini menunjukkan Bandaraya Kuching telah menjadi bandaraya pertama di Malaysia di beri gelaran tersebut. Pengisytiharan Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan ini diusulkan oleh Yayasan 1Malaysia. Ini menunjukkan kepelbagaian etnik di Sarawak telah di iktiraf sebagai satu model yang menjulang keharmonian serta perpaduan kaum.

Bumi kenyalang yang terkenal dengan kepelbagaian etnik tidak pernah timbul isu perkauman dalam kalangan pelbagai etnik di Sarawak. Model perpaduan dan keharmonian kaum di bumi kenyalang ini harus diketengahkan agar ia dapat membantu Malaysia keluar daripada kebejatan api perkauman yang ternyata tidak memberi apa-apa kebaikan kepada negara. Perpaduan serta keharmonian antara kaum merupakan tunjang kepada kestabilan politik yang menjurus kepada kemampanan ekonomi di sebuah negara.

Keharmonian antara kaum di Sarawak terserlah apabila masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang boleh duduk semeja minum di kedai kopi sama ada kedai kopi kaum Cina, Melayu atau Iban dan sebagainya. Contohnya, di premis kedai kopi milik kaum Cina, ada orang Melayu yang menjual makanan di situ. Ini menunjukkan penduduk di bumi kenyalang ini mengutamakan perpaduan serta keharmonian antara kaum.

Kejayaan Sarawak dalam menjulang keharmonian dan perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik ini telah mendapat pujian daripada sekurang-kurangnya dua orang Menteri kerajaan PH daripada semenanjung Malaysia iaitu YB Dato Dr Mujahid bin Yusof Rawa yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menguasai portfolio agama dan YB Senator Tuan Waytha Moorthy A/L Ponnusamy juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menguasai portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.

Ini menunjukkan model keharmonian serta perpaduan kaum di Sarawak boleh dijadikan contoh untuk di kaji serta diaplikasikan dalam konteks kemajmukan masyarakat di Malaysia. Keharmonian dan perpaduan kaum ini telah menjadikan Sarawak sebuah negeri yang stabil dan mampu untuk menarik para pelabur dari luar melabur yang boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri Sarawak.

Isu perkauman di negara kita makin hangat diperdebatkan. Perkara seperti ini tidak mendatangkan kebaikan kepada negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat. Sentimen perkauman ini tidak pernah pudar mewarnai politik Malaysia. Ia telah menjadi modal kepada parti-parti politik untuk terus kekal relevan. Persoalanya, adakah perkara ini menjadi tanggungjawab parti-parti politik? Kenapa dalam Malaysia Baharu masih lagi sentimen perkauman ini didendangkan? Persoalan ini harus diteliti oleh semua kita.

Di sebalik kerencaman politik di Sarawak, sentimen perkauman ini tidak mendapat tempat dalam pentas politik di bumi kenyalang. Perdebatan tentang isu perkauman ini tidak laku dalam pentas politik Sarawak setiap kali pilihan raya. Namun, pada PRN 12 akan datang hak kaum yang rasa ditindas sudah pasti akan didendangkan. Apa yang pasti ia tidak akan menimbulkan isu perkauman yang radikal sehingga boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang sekian lama terjalin dalam masyarakat di Sarawak.

Apa-apa pun, Sarawak merupakan sebuah negeri yang mempunyai rakyat yang sentiasa memahami antara satu sama lain. Isu perkauman tidak akan meruntuhkan keakraban hubungan yang sekian lama terjalin dalam kalangan masyarakat yang pelbagai di bumi kenyalang. Perkahwinan campur yang wujud di Sarawak menyerikan lagi keharmonian dan perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di Sarawak. Keunikan ini boleh dijadikan model keharmonian dan perpaduan kaum bagi Malaysia.

Realiti adalah isu perkauman ini sekiranya terus dimainkan akan menyebabkan bencana kepada negara. Kestabilan politik yang selari dengan isu perkauman ini harus dipertimbangkan sebelum ia meroboh tembok perpaduan dan keharmonian yang telah dibina sekian lama. Api perkauman ini amat berbahaya. Bak kata pepatah jangan bermain dengan api, kecil menjadi kawan bila dah besar akan menjadi lawan.

Pupuk nilai kebersamaan dan raikan setiap perbezaan salah satu strategi dalam mempertahankan keharmonian dan perpaduan kaum dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Sarawak merupakan contoh terbaik dalam Malaysia setelah pengiktirafan diberi kepada Bandaraya Kuching yang menjadi Bandaraya Perpaduan pertama di Malaysia. Semoga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak terus mekar di bumi kenyalang yang bertuah ini.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru