KUCHING:  Sekadar menghantar nota diplomatik kepada Indonesia yang menjadi punca fenomena jerebu di negara ini tidak memadai.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak menegaskan Kerajaan Persekutuan sepatutnya menegur Kerajaan Indonesia agar menganggap fenomena jerebu yang melanda negara ini, terutama Sarawak sebagai masalah yang serius dan rumit.

Mengakui ia dijangka memberi kesan terhadap pelancongan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap kerajaan Indonesia mengambil langkah drastik bagi menghentikan pembakaran di wilayah Kalimantan yang membawa jerebu rentas sempadan termasuk ke Sarawak.

“Kalau sekadar menghantar nota diplomatik, itu tidak memadai,” katanya selepas menghadiri satu majlis di sini semalam.

Empat hari lalu, media melaporkan Malaysia  menghantar Nota Diplomatik kepada Indonesia atas kejadian jerebu merentas sempadan yang menyaksikan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara meningkat, dengan Kuching, Sarawak pada tahap sangat tidak sihat.

Menurut Jabatan Alam Sekitar, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin telah menghantar surat kepada rakan sejawatannya menyatakan kebimbangan Malaysia atas situasi jerebu yang melanda dan menggesa Indonesia mempertingkatkan usaha pemadaman.

Semalam157,477 murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah  tidak turun ke sekolah apabila 409 sekolah rendah dan menengah diarah tutup oleh Kementerian Pendidikan Negeri Sarawak.

Fenomena jerebu berlaku setiap tahun sehingga meliputi angkasa di Sarawak dan memberi kesan buruk terhadap kesihatan, pelancongan dan ekonomi.

Ia berpunca daripada kebakaran hutan di Kalimantan, termasuk diari wilayah ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan timur.

Bercakap kepada para peserta boling yang menyertai Kejohanan Boling 10-Poin Terbuka Antarabangsa di sini, antaranya dari China, Venezuela, Jepun dan Filipina,  Abdul Karim menjelaskan masalah jerebu tidak berlaku setiap hari di negeri ini.

“Jarang-jarang terjadi seperti ini, hanya pada waktu tertentu sahaja dan ia bukan disebabkan kami. Ia berpunca daripada negara jiran kami tetapi sebagai negara berjiran, tidak boleh terlalu sangat berselisih pendapat dengan mereka,” katanya.

“Kami sering memberitahu mereka menerusi saluran diplomatik agar  tolong kawal kebakaran di tempat anda sebab kamilah yang terpaksa menanggung akibatnya,” katanya yang kecewa dengan fenomena berkenaan.