LAWAS: Pada jam 11.05 malam Selasa lalu, mangsa kedua yang hilang di perairan Pulau Sari, Kuala Lawas petang Isnin lalu telah ditemui oleh pihak Bomba Lawas terapung di persisiran pantai Pulau Sari Besar.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri, pencarian tersebut dilakukan oleh pasukan Bomba Sukarelawan Kampung Punang bersama penduduk kampung seramai 16 orang yang diketuai PBKII Celica.

“Operasi pencarian turut dibantu oleh Agensi Kastam terdiri daripada Limbang, Lawas dan juga Labuan seramai 19 anggota.

“Difahamkan mangsa kedua disahkan sebagai Farouk Arina Ahmad 29, salah sorang staff Telekom Malaysia (TM) dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan tersebut.

Selasa lalu, pada jam 8.35 pagi mangsa pertama Yeu Chee Tiong, 30 telah ditemui oleh pihak berkuasa terdampar di batu di kawasan Sungai Labik.

Sebelum kejadian berlaku mereka bertiga telah pergi memancing di Pulau Sari dan telah meminjam sebuah bot salah seorang penduduk di Kampung Punang, kehilangan mereka mula disedari oleh pemilik bot yang cuba menghubungi mereka namun gagal.

Tambahan dengan cuaca ribut dan laut berombak pada ketika itu di Pulau Sari telah menyebabkan bot mereka karam dan dipukul ombak.

Sehingga kini, seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Amirul Bakar, 26 salah seorang Pekerja Kastam masih belum ditemui oleh pihak berkuasa dan proses pencarian masih diteruskan.