NOTA diplomatik ialah komunikasi bertulis rasmi antara dua negara untuk mengemukakan sesuatu permohonan. Ada daripada nota diplomatik adalah bersifat rutin, tetapi tidak kurang juga yang dihantar kepada sebuah kerajaan negara asing atas sebab mendesak.

Malaysia dikatakan akan menghantar nota diplomatik kepada Indonesia  atas kejadian jerebu merentas sempadan yang menyaksikan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara meningkat, dengan Kuching  pada tahap sangat tidak sihat.

Apa-apa pun, nota diplomatik menjadi rekod rasmi komunikasi antara kerajaan. Jadi, terpulang kepada kerajaan terbabit untuk bertindak balas atau mengambil tindakan terhadap perkara yang dikemukakan sesebuah kerajaan terhadap nota diplomatik berkenaan. 

Tentu baik jika kerajaan asing terbabit mengambil serius terhadap perutusan dalam nota diplomatik itu. Maksudnya, akan ada implikasi politik dari segi perhubungan antarabangsa jika nota diplomatik berkenaan diambil mudah oleh negara yang menerimanya.

Jadi, bagaimana dengan Kerajaan Indonesia? Adakah ia mengambil serius terhadap mesej dalam nota diplomatik yang dihantar oleh Kerajaan Malaysia? Atau ia tidak membawa sebarang makna?

Nota diplomatik tentang  fenomena jerebu yang menyelubungi Malaysia dan negara jiran sejak beberapa minggu lalu, malah sejak beberapa tahun lalu, tentu sesuatu yang serius. Ini bukan soal ‘sepele’ atau remeh dan mudah, menurut istilah Indonesia. Jadi, ia tidak boleh mengambil mudah dan sekadar mengucapkan ‘Bisa, Pak’ seperti yang sering diucapkan oleh rakyat Indonesia.

Malaysia, termasuk Sarawak yang teruk dilanda jerebu, sudah lama bersabar. Kesannya amat negatif terhadap kehidupan, termasuk kesihatan, pendidikan pelancongan, kegiatan ekonomi dan sebagainya.

Semalam sahaja, sejumlah 406 sekolah di sembilan daerah di Sarawak diarah tutup berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di negeri ini melepasi paras 200, kelmarin.

Hakikatnya, kebakaran besar di kawasan hutan Indonesia mengakibatkan kualiti udara semakin merosot dengan asap toksik, sekali gus menyebabkan penutupan ratusan sekolah di seluruh Asia.

Ribuan kakitangan pemadan kebanyakan dikerah memadam kebakaran hutan besar-besaran di Borneo dan Sumatera, biasanya untuk tujuan membersihkan tanah untuk bagi penanaman.

Di Indonesia jumlah titik panas melonjak di beberapa bahagian, termasuk di Borneo yang berkongsi sempadan dengan Sabah dan Sarawak. 

Jerebu melanda Asia Tenggara sehingga mencetuskan keadaan huru-hara kegiatan ekonomi pernah berlaku pada 2015.  

Keadaan yang sama pernah berlaku pada 1998 ketika jerebu benar-benar menyerkupi kawasan, terutama di bandar raya Kuching. Saya masih ingat sepatutnya saya dan sekumpulan wartawan pergi ke Vietnam dan Hong Kong,  pada hari berkenaan, Tetapi penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur telah dibatalkan. 

Sebenarnya, pada awal pagi itu, sekitar jam 5,  saya keluar rumah di Petrajaya. Saya tidak pernah menyaksikan keadaan sedemikian. Ketika memandu, saya seolah-olah memandu dalam awam kerana jalan raya di bandar raya diselubungi jerebu yang teruk. 

Jadi, dapat dibayangkan kesannya kepada dunia penerbangan pada hari tersebut. Keadaan ini benar-benar menimbulkan masalah kepada kami yang terpaksa menunda penerbangan ke negara berkenaan. Banyak penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan pada hari berkenaan.

Kebakaran tersebut mengakibatkan masalah jerebu teruk di rantau ini selama beberapa minggu sehingga mencetuskan pergeseran diplomatik.

Adakah pisang akan berbuah dua kali?

Berdepan tekanan negara jiran, Presiden Indonesia Joko Widodo bulan lepas memberi amaran pegawai dipecat jika gagal memadamkan kebakaran hutan.

Kualiti udara di negeri ini semakin  teruk beberapa hari lalu.

Sesungguhnya, jerebu menyukarkan hidup negara jiran. Sarawak mengalami keadaan yang teruk kerana berdekatan dengan Kalimantan. Banyak hutan di wilayah berkenaan termasuk wilayah tempat ibu kota baharu Indonesia.

Tidak dinafikan terdapat juga kejadian kebakaran belukar tanah gambut di Kuala Baram, Miri, dan tapak kebakaran lama kembali berasap, menyebabkan keadaan sekitar berjerebu.  Tetapi ini bukan punca utama kerana punca utama masih lagi Indonesia. Ini realitinya dan kita tidak boleh menafikan hakikat ini.

Bagi kawasan di Sarawak, tindakan pencegahan dan pemadaman telah dilakukan oleh oleh pihak bomba , pihak berkuasa tempatan serta pemilik ladang.

Persoalannya, sampai bilakah fenomena ini terus melanda? Tidak adakah jalan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menemui titik noktah kepada masalah ini.

Hakikatnya, rakyat Malaysia sudah lama menderita dan terseksa. Kesabaran mereka benar-benar teruji.

Saya tidak pasti apa reaksi Indonesia dan 270 juta rakyatnya jika Malaysia yang menjadi punca masalah ini? 

Kita dapat mengagak berdasarkan apa yang berlaku selama ini. Tengok sahaja apa yang terjadi di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta ketika Indonesia tewas kepada Malaysia Khamis lalu. Atau hal-hal lain membabitkan hubungan dua hala atau isu budaya, makanan, amah dan pekerja asing.

Menurut Jabatan Alam Sekitar, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin  telah menghantar surat kepada rakan sejawatannya.

Ia menyatakan kebimbangan Malaysia atas situasi jerebu yang melanda serta menggesa Indonesia mempertingkatkan usaha pemadaman. Difahamkan lebih 10,000 orang terbabit dalam usaha pemadamanan ketika ini.

Malaysia telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Indonesia dalam menangani masalah ini. Adakah negara 17,000 pulau itu bersedia untuk menerima kerjasama itu demi kepentingan bersama?

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah,  jerebu  bukan berpunca daripada Malaysia, tetapi berpunca daripada negara jiran tetapi sebagai negara berjiran, tidak boleh terlalu sangat berselisih pendapat dengan mereka.

“Kami sering memberitahu mereka menerusi saluran diplomatik supaya tolong kawal kebakaran di tempat anda sebab kamilah yang terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.

Sekadar menghantar nota diplomatik kepada Indonesia yang menjadi punca fenomena jerebu di negara ini memang tidak memadai.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak menegaskan Kerajaan Persekutuan sepatutnya menegur Kerajaan Indonesia agar menganggap fenomena jerebu yang melanda negara ini, terutama Sarawak sebagai masalah yang serius dan rumit.

Mengakui ia dijangka memberi kesan terhadap pelancongan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap kerajaan Indonesia mengambil langkah drastik bagi menghentikan pembakaran di wilayah Kalimantan yang membawa jerebu rentas sempadan termasuk ke Sarawak.

“Kalau sekadar menghantar nota diplomatik, itu tidak memadai,” katanya.

Benar, sekadar nota diplomatik belum lagi memadai. Malaysia dan negara jiran mahu melihat komitmen yang lebih jitu di pihak Indonesia untuk menangani dengan berkesan masalah ini. Kami sudah cukup menderita oleh fenomena yang berlaku ketika ini.