KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memaklumkan sebanyak 409 buah sekolah ditutup semalam membabitkan 157,479 murid dan pelajar susulan keadaan jerebu yang memburuk melanda negeri ini semalam.

Kata jabatan itu dalam satu kenyataan, sekolah paling banyak ditutup adalah di Padawan dengan 101 buah, terdiri daripada
86 sekolah rendah dan 15 sekolah menengah dan ia menjejaskan 46,572 murid dan pelajar.

”Ini diikuti Bahagian Kuching dengan 87 sekolah ditutup terdiri daripada 61 sekolah rendah dan 28 sekolah menengah sekali gus menjejaskan 60,509 murid dan pelajar,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, sebanyak 53 sekolah di Betong turut ditutup terdiri daripada 45 sekolah menengah dan lapan sekolah menengah sehingga menjejaskan 14,520 murid dan pelajar.

“Di Bau pula, sebanyak 44 sekolah ditutup yang terdiri daripada 40 sekolah rendah dan empat sekolah menengah dan menjejaskan 11,571 murid dan pelajar,” katanya.

Sekolah-sekolah lain yang ditutup adalah di Sri Aman, Lundu dan Lubok Antu.

Walaupun sekolah berkenaan ditutup, tetapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetap dijalankan seperti biasa, katanya dalam satu kenyataan.

Murid-murid berkenaan diwajibkan memakai topeng muka sebagai perlindungan.