KUCHING: Sebanyak enam projek infrastruktur yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 41,000 kilometer per segi akan dilaksanakan di negeri ini tidak lama lagi yang akan memberi kemudahan perhubungan kepada 24 rumah panjang.

Majlis menandatangani kontrak projek itu disempurnakan hari ini antara Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Datuk Ismawi Ismuni dan enam kontraktor yang dilantik di bawah Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing di sini.

Masing berkata pembinaan kumpulan pertama projek infrastruktur dan kemudahan itu akan dibiayai  kerajaan negeri dengan peruntukan kira-kira RM1.5 bilion.

“Projek ini adalah kumpulan pertama daripada keseluruhan 34 projek infrastruktur dan kemudahan di kawasan URDA, terutamanya di Kapit, Kanowit, Song, Belaga dan Bukit Mabong.  Akan ada 28 lagi projek dan lebih banyak kontraktor akan terlibat,” katanya seperti dilapor Bernama.

Enam kontraktor yang dianugerahkan projek di bawah URDA melalui tender   terbuka itu ialah Hock Seng Lee Berhad, Hanayin Engineering Sdn Bhd, WHE Contract Sdn Bhd, Davilla Construction Sdn Bhd, Kemudi Harta Sdn Bhd dan Bumi Utara Construction Sdn Bhd.

Projek itu merangkumi pembinaan jambatan Nanga Machan dan Jalan Ulu Machan; jalan baharu ke Nanga Geremai, Kanowit; menaik taraf jalan ke Skim Tunoh, Melinau, Kapit; jalan masuk baharu ke Tunoh Scheme;  jalan masuk baharu ke Uma Sambop dan menaik taraf jalan kampung ke SK Long Urun.