KUALA LUMPUR: Pengurusan BH mengesahkan seorang daripada wartawannya menerima ugutan bunuh berikutan satu laporan pendedahan yang dibuat akhbar ini beberapa hari lalu, lapor Berita Harian. 

Sehubungan itu, polis sedang menyiasat laporan seorang wartawan wanita Berita Harian yang mendakwa beliau diugut bunuh menerusi emel baru-baru ini.

Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan, sebaliknya ancaman sedemikian akan menguatkan azam akhbar itu untuk terus gigih membongkarkan sebarang berita yang membabitkan masyarakat di negara ini.

“Setiap laporan disiarkan BH adalah berdasarkan bukti diperoleh oleh wartawan kami.

“Jika ada pihak yang tidak puas hati terhadap mana-mana laporan BH, akhbar ini sentiasa memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan.

“Tindakan membuat ugutan adalah satu perbuatan pengecut dan tidak akan meluntur semangat kami untuk mengejar kebenaran,” katanya.

Beliau berkata berikutan ugutan yang diterima menerusi e-mel itu, satu laporan polis dibuat pada Ahad.

E-mel berkenaan difahamkan diterima wartawan itu pada Ahad lalu.

“Kami berharap penghantar e-mel dapat dikesan serta tindakan sewajarnya diambil,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Arifai Tarawe mengesahkan ada menerima laporan daripada wartawan berkenaan, Ahad lalu.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan (membuat ugutan jenayah),” katanya seperti dipetik Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Chin Sung Chew, menuntut supaya polis menjalankan siasatan secepat mungkin terhadap tindakan mengugut wartawan tersebut.

“NUJ amat prihatin mengenai insiden ini dan akan terus memantau keselamatan wartawan,” katanya.

Beliau berkata, NUJ mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian yang boleh didakwa sebagai kesalahan ugutan jenayah mengikut peruntukan undang-undang di negara ini.