KUALA LUMPUR: Pemain pasukan Harimau Malaya, Brendan Gan sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan pasukan nombor 65 dunia, United Arab Emirates (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini.

Pemain tengah berumur 31 yang memainkan peranan penting dalam kejayaan penuh bermakna Malaysia semasa menumpaskan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lepas mengakui, pasukan negara amat positif dengan perlawanan esok.

Menurutnya walaupun UAE memiliki reputasi sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan itu, ia tidak akan mengikis semangat dan tumpuan beliau serta rakan sepasukannya yang tidak sabar-sabar untuk menghasilkan keputusan positif, lebih-lebih lagi susulan permulaan yang baik di stadium Gelora Bung Karno.

“Perlawanan esok memang sukar, tapi kami sangat positif, kami telah membuat persiapan yang baik, dan saya rasa kami sudah bersedia untuk apa sahaja yang akan dibawa oleh UAE kepada kami esok.

“Kami akan terus bekerja keras untuk memenangi perlawanan, kami bukan masuk padang untuk kalah atau seri, jadi kami fokus kerana akhirnya ia bergantung bagaimana cara kami beraksi dan bagaimana hendak mengawal keadaan,” katanya pada persidangan media pra perlawanan di sini, semalam seperti dipetik Bernama.

Gambar fail

Mengulas perlawanan di Jakarta yang menyaksikan Harimau Malaya bermula dengan aksi yang agak hambar, pemain Perak itu berkata pasukan negara sudah bersedia untuk bangkit kembali dan kelebihan di tempat sendiri mungkin dapat membantu mereka mempamerkan aksi lebih tersusun nanti.

“Memang kita bermula dengan agak perlahan, semua orang menyedarinya. Kita akan perhalusi apa yang ingin dilaksnakan dalam perlawanan itu nanti, dan jurulatih sudahpun membentangkan perancangannya, apa yang perlu dilakukan untuk permulaan yang baik.

“Di hadapan penyokong di tempat sendiri, kami menjangka untuk turun padang dan bermula dengan baik dan positif kali ini,” tambahnya.

Malaysia kini berada di tempat teratas dalam Kumpulan G dengan tiga mata, di hadapan Thailand dan Vietnam yang masing-masing meraih satu mata di tempat kedua dan ketiga, manakala UAE akan memulakan kempen mereka dalam saingan itu esok.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan UAE adalah pada Pestabola Merdeka 1982 dengan 2-1, selain satu lagi kemenangan 2-0 pada Piala Asia 1980. Selain itu pasukan negara kalah dalam sembilan perlawanan lain, dan seri sekali.