LIMBANG: Seorang usahawan tempatan berjaya mengharumkan nama Limbang di hadapan seramai hampir 15,000 orang semasa Program Seminar Nak Ubah Hidup anjuran Rich Works di SCCC Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Seminar tersebut adalah bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan perjalanannya sepanjang berkecimpung dalam dunia perniagaan sehingga bergelar seorang usahawan berjaya.

Mohd Faizal Irman, 31, merupakan seorang usahawan muda yang berjaya menghasilkan produk cendol sehingga mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar cendol tempatan mahupun luar.

Mula berniaga pada tahun 2014, Faizal sebelum itu merupakan seorang penjawat awam yang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di SK Nanga Merit, iaitu sebuah sekolah yang terletak di kawasan pedalaman Limbang sejak tahun 2010.

Walaupun sudah mempunyai pendapatan yang tetap sebagai seorang penjawat awam, namun dia gagal menguruskan kewangan dengan baik.

Disebabkan itu, dia terpaksa menanggung beban hutang yang sangat teruk sehingga memaksanya mencari pendapatan sampingan.

“Saya telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak pada ketika itu, jadi saya tiada pilihan lain selain terpaksa mencari pendapatan sampingan.

“Gaji saya setiap bulan akan habis digunakan untuk membayar hutang piutang sahaja,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Mencerita lanjut bagaimana mula berjinak dalam dunia perniagaan, Faizal berkata, dia
menjual buku hasil tulisan Dr Azizan Osman.

“Bila saya imbau kembali, menjual buku itu bukan sahaja memberi pendapatan kepada saya malah, saya juga mendapat ilmu.

“Selain menjual buku itu, saya juga membacanya dan dari situ, ia menjadi panduan kepada saya untuk berniaga dan perniagaan cendol menjadi pilihan,” jelasnya.

Berniaga bersama-sama isterinya, Nor Fahimah Hamid, 34, pasangan suami isteri itu mengerah tenaga setiap hujung minggu dengan menjual cendol atas jenama Husna Hasya Corner.

“Kami mula membuka perniagaan ini secara kecil-kecilan di sebuah pondok usang di simpang Kampung Pelita pada tahun 2014.

“Melalui perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan itu akhirnya ia mula membuahkan hasil,” ujarnya.

Faizal akhirnya berjaya mengubah waktu operasi perniagaan yang dulunya hanya pada setiap hujung minggu kepada operasi setiap hari dengan bantuan beberapa orang pekerja.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari boleh diterjemahkan kepada perniagaanya kerana terpaksa ditutup.

“Saya mengambil keputusan untuk menutup perniagaan cendol itu pada hujung Oktober 2018 apabila perniagaan terjejas akibat peningkatan kos bahan mentah termasuk kuasa beli pelanggan yang semakin menurun,” jelasnya.

Meskipun menghadapi cabaran gentir itu, Faizal tekad untuk terus mencari ilmu perniagaan.

Pada November 2018, iaitu beberapa hari selepas gerai beliaunya ditutup, dia hadir ke Program IMKK, di Shah Alam iaitu sebuah seminar perniagaan anjuran Rich Works International Sdn Bhd bersama dengan mentor kesayangannya, Dr Azizan Osman.

“Saya sebenarnya sudah putus asa, sebab itu saya tutup gerai. Tapi seminar ini membuatkan saya menangis dan menimbulkan rasa berdosa sebab memilih untuk tutup gerai tersebut.

“Sepatutnya, saya mesti teruskan perjuangan untuk membantu lebih ramai orang untuk dapatkan cendol yang terbukti banyak peminatnya.

“Di samping membantu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung,” katanya.

Oleh itu sekembalinya dari Shah Alam, Faizal mengambil keputusan untuk membuka semula perniagaan cendolnya dengan jenama baharu Tremendous Café.

Berkat kesyukuran, kesabaran dan doa dari kedua-dua orang tua, perniagaannya terus mencatatkan peningkatan.

“Sejak peniagaan cendol itu beroperasi semula, gerai saya dikunjungi lebih daripada 10,000 orang dalam masa tujuh bulan bermula sejak 2 Februari 2019 yang lalu,” ujarnya sambil tersenyum.

Faizal kini bersama 12 orang pasukannya sangat komited untuk membantu lebih ramai peminat cendol untuk dapatkan cendol yang sedap.

“Jenama yang mula meningkat naik ini bukan sahaja berjaya menarik minat orang tempatan, malahan turut juga dikenali hingga ke Brunei Darussalam dan ia menjadi salah satu tarikan utama pelancong yang datang dari negara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal mengucap terima kasih kepada pengurus Diq’s Kitchen kerana memberikan peluang kepadanya membawa jenama Tremendous Café berkenaan.

“Pada asalnya kita hanyalah berkongsi tempat di dalam premis perniagaan beliau. Jasa beliau tidak mampu kami balas dengan kata-kata,” ujarnya.

Kini, Faizal berjaya meraih pendapatan lumayan dan memaklumkan bahawa Tremendous Café akan berpindah ke premis yang baru bertempat di Bangunan Bangkita, dalam masa terdekat ini.

Selain itu, dia turut mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaan cendolnya ke Miri dan Brunei Darussalam pada masa akan datang.

Lantaran itu, Faizal berpesan kepada mereka ingin atau sudah menceburi bidang perniagaan agar sentiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa.

“Setiap kejatuhan, adalah ujian. Ujian ini adalah petanda bahawa Allah S.W.T akan datangkan lebih banyak khabar gembira untuk hambanya yang bersyukur,” ujarnya.